Zulremy Daud selaku pengurus dan penerbit Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) memaklumkan bahawa penganjuran kali ini diteruskan sebagai kesinambungan kejayaan empat siri Showcase Amal Artis Legenda yang terdahulu. Nama “Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan” dipilih sebagai penghargaan kepada Nizam Laksamana atas dedikasi dan komitmen beliau dalam menjayakan siri showcase sebelum ini, selain mencerminkan sifat prihatin dan kasih sayang yang sentiasa ditunjukkan terhadap rakan-rakan artis serta individu yang berdepan kesukaran hidup akibat masalah kesihatan dan kekangan kewangan. Menurut beliau, penganjuran ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk menyatukan masyarakat dalam usaha menyebarkan nilai kemanusiaan dan semangat saling membantu. Menurut Zulremy, pengalaman melihat sendiri kanak-kanak yang menghidap kanser, autisme, merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) serta pelbagai penyakit kronik telah menyentuh hati mereka untuk terus menjadikan hiburan sebagai medium menyebarkan kasih sayang dan membantu masyarakat. Justeru, sebahagian hasil kutipan daripada showcase ini akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat jagaan yang menguruskan anak-anak istimewa bagi membantu menampung keperluan operasi harian, selain meringankan beban ibu bapa serta penjaga yang berusaha memberikan kehidupan lebih baik kepada anak-anak mereka. Beliau berharap usaha kecil yang dilaksanakan ini mampu memberi impak positif kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Walaupun berdepan cabaran mendapatkan penaja, pihak penganjur tetap komited meneruskan acara ini dengan menawarkan pakej meja pada harga lebih mampu milik sebagai usaha menggalakkan lebih ramai individu, syarikat dan organisasi tampil memberikan sokongan. Pakej yang ditawarkan merangkumi Meja Platinum berharga RM10,000 untuk lapan tempat duduk, Meja Gold berharga RM5,000 untuk 10 tempat duduk dan Meja Silver berharga RM1,700 untuk 10 tempat duduk. Harga Meja Silver turut diturunkan berbanding penganjuran terdahulu bagi mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan memberi peluang kepada lebih ramai pihak menyumbang kepada misi kebajikan ini. Barisan artis seperti Tam Spider, Zamani Slam, Hazama, Haiza, Azmani dan UNIC turut bersetuju menjayakan showcase ini selepas memahami matlamat kebajikan yang dibawa. Menurut Zulremy, ramai lagi rakan artis yang menyatakan hasrat untuk turut serta, namun penyertaan terpaksa dihadkan atas faktor pengurusan dan kelancaran perjalanan acara. Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Noah Grand Ballroom, Melawati, Kuala Lumpur bermula jam 8.00 malam. Tiket kini boleh didapati menerusi platform Ticket2U, manakala pihak penganjur berharap orang ramai dan syarikat korporat akan terus memberikan sokongan kerana setiap pembelian tiket dan pakej meja bukan sahaja menjanjikan sebuah malam hiburan yang bermakna, malah turut menyumbang kepada usaha membantu golongan yang memerlukan. Post navigation Applecrumby Celebrates Football Season with Limited-Edition Collection and RM16,990 Spend & Win Campaign Konsert Black On White Nyalakan Semula Semangat Thrash Metal Bersama Cromok dan Barbarik