Syed Zainal Abidin – FOTO RAFEQ REDZUAN
KUALA LUMPUR – Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menasihatkan setiap individu berkerjaya agar tidak kedekut menginfakkan ilmu yang dimiliki demi manfaat ramai.
Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad itu berkata, ilmu yang diinfak itu akan menjadi ‘saham’ kepada seseorang di akhirat nanti.
“Masalahnya, kita kedekut untuk berkongsi ilmu sedangkan dunia hari ini memerlukan banyak infak dari segi ilmu, tenaga dan sebagainya.
“Pertolongan dan perkongsian yang diberikan itu nanti akan membantu orang lain,” katanya selaku penceramah jemputan pada slot cabaran karier sempena World #QuranConvenstion (WQC) 3.0 di Dewan Perdana MITI di sini pada Sabtu.
Sesi yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ARBA Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator itu menyaksikan Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-61, Abdul Khair Jalil membacakan Surah Yusuf ayat 54 hingga 55.
Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin yang juga bekas Pengarah Urusan Proton berkata, hanya tiga perkara yang boleh dibawa selepas mati iaitu sedekah jariah, doa anak yang soleh dan ilmu yang memberi manfaat pada orang lain.
“Kita juga jangan sombong dengan orang dan kena jadi orang yang tidak segan bertanya sebab realitinya kita bukan tahu serba-serbi.
“Jadi untuk belajar kita kena berada di sekeliling orang yang berilmu dan lebih pintar daripada kita.
“Sama juga kalau kita nak berjaya di akhirat, kita perlu mendampingi orang yang ada ilmu agamanya,” ujarnya yang juga bekas Pengarah Eksekutif Perodua.