Lebih 200 penggiat muzik dari seluruh negara dijangka menghadiri Konvensyen Penggiat Muzik 2026 yang akan berlangsung di Restoran Saloma, Jalan Ampang pada 21 Jun ini. Acara anjuran Persatuan Karyawan Malaysia itu bertujuan menjadi medan perbincangan mengenai cabaran dan isu yang sedang dihadapi oleh industri muzik tempatan. Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, perbincangan mengenai royalti dan hak cipta akan menjadi agenda utama kerana isu tersebut masih membelenggu ramai artis dan pemuzik sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan pemain industri. Beliau menjelaskan bahawa terdapat ketidakseimbangan ketara dalam pengagihan royalti berdasarkan data yang diperoleh sepanjang tempoh 2002 hingga 2017. Perkara itu akan diperincikan kepada peserta bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak dan kepentingan penggiat muzik. Selain isu royalti, peserta turut berpeluang mendengar kupasan mengenai pengaruh teknologi AI dalam industri kreatif, peluang pembiayaan melalui geran, pembangunan pendidikan muzik serta strategi pemasaran menerusi platform media sosial. Pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing akan berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang sesi berlangsung. Konvensyen ini juga diharap dapat menghasilkan cadangan bernas yang mampu membantu kerajaan merangka dasar lebih baik demi memperkasakan industri muzik dan menjaga kebajikan penggiat seni tanah air. Post navigation Castrol EDGE Turun Ke Jalan Raya, Dekati Pemandu Melalui Kempen Trak LCD Bergerak