SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) telah mengambil tindakan terhadap Huobi Global Limited dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leon Li kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran atau secara haram.
Suruhanjaya itu berkata, syarikat terbabit turut diarah untuk menghentikan operasi di negara ini termasuk laman web dan aplikasi mudah alihnya seperti Apple Store, Google Play dan mana-mana platform aplikasi digital lain.
“Ia termasuk menghentikan pengedaran, penerbitan atau penghantaran sebarang iklan sama ada dalam e-mel atau di platform media sosial kepada pelabur Malaysia.
“Keputusan ini dibuat selepas terdapat kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan kawal selia tempatan dan dalam usaha melindungi kepentingan pelabur,”katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah suruhanjaya itu, mengendalikan DAX tanpa didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Jelasnya, pelabur Malaysia yang telah menggunakan Huobi Global Limited untuk segera menghentikan dagangan melalui platform, menarik balik semua pelaburan mereka dan menutup akaun mereka.
Menurutnya, mereka yang melabur dengan entiti, individu tidak berlesen atau tidak berdaftar terdedah kepada risiko seperti penipuan dan mungkin tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
“Pelabur dinasihatkan untuk melabur dan berurusan dengan RMO yang berdaftar dengan SC supaya dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
“Mereka harus berhati-hati apabila memilih platform pelaburan dan sentiasa melakukan semakan sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan,” katanya.