Heidi Moru terus mengorak langkah dalam industri muzik apabila diberi kepercayaan menyampaikan lagu ‘Dendam‘, runut bunyi rasmi filem Nar’sata: Sekutu Setan, sebuah karya yang mengangkat tema kesedihan, kehilangan dan dendam. Menurut Heidi, peluang itu merupakan rezeki yang amat dihargainya kerana bukan sahaja dapat bekerjasama dengan komposer Luca Sickta, malah lagu tersebut mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan emosinya ketika ini. Beliau berkata, lirik lagu berkenaan memberikan ruang untuk meluahkan rasa yang selama ini hanya tersimpan dalam hati.

Bagi memastikan setiap emosi dapat diterjemahkan dengan baik, Heidi mendalami watak Balqis yang menjadi tunjang utama filem tersebut. Usahanya memahami perjalanan hidup watak itu membolehkan setiap bait lagu disampaikan dengan lebih tulus dan menyentuh jiwa. Heidi turut mengakui proses rakaman bukan sesuatu yang mudah kerana lagu tersebut memerlukan kekuatan vokal serta kawalan emosi yang konsisten dari awal hingga akhir.

Walaupun begitu, beliau menyifatkan pengalaman bekerjasama bersama pasukan produksi sebagai antara detik paling berharga dalam perkembangan kerjayanya. Heidi berharap ‘Dendam‘ dapat menyentuh hati pendengar, selain menjadi inspirasi untuk menerima setiap ujian hidup dengan hati yang reda. Pada masa sama, beliau berharap filem Nar’sata: Sekutu Setan dapat memberikan pengajaran berguna kepada masyarakat.