Hartanah komersial Emporia terjual 90 peratus

Hartanah komersial Emporia dijangka siap menjelang 2025.

Hartanah komersial Emporia dijangka siap menjelang 2025.

EMPORIA iaitu sebuah hartanah komersial pertama di kawasan pembangunan perumahan Setia Alamsari di sini terjual sebanyak 90 peratus dalam tempoh sehari selepas dilancarkan pada 6 Ogos lalu.

Pengurus Besar Setia Alamsari, Soh Wai Fong berkata, projek di bawah S P Setia itu bukan hanya memberi kemudahan buat penduduk Setia Alamsari malah bakal merancakkan peluang perniagaan di Kajang.

Menurutnya, bangunan dua tingkat itu meliputi 30 unit kedai dan ruang pejabat berkeluasan antara 3,208 hingga 6,646 kaki persegi berharga antara RM1.57 juta hingga RM3.71 juta.

“Projek dijangka siap pada suku ketiga 2025 dengan jumlah kasar nilai pembangunan RM60.2 juta.

“Ia bakal memberi perkhidmatan kepada lebih 8,500 penduduk Setia Alamsari dan manfaat kepada lebih 240,700 penduduk sekitar Semenyih, Bandar Baru Bangi, Bangi Avenue, Bandar Seri Putra, Lambaian Residence, Serene Heights dan Southville City menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengenai Setia Alamsari katanya, pembangunan perbandaran itu meliputi kawasan tanah pegangan bebas seluas 775 ekar dengan nilai kasar projek RM5.1 bilion.

Jelas beliau, kediaman teres, rumah berkembar dan banglo itu direka bentuk dengan konsep tropika dikelilingi lapan taman dan tiga tasik yang bakal memberikan ketenangan buat penghuninya.

“Lokasinya juga berhampiran stesen komuter Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kemudahan jaringan ke lebuh raya utama termasuk Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS:, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK).

“Taman perumahan ini juga dekat dengan kemudahan perubatan seperti Hospital Kajang dan Hospital Pakar KPJ Kajang serta pusat pengajian seperti German-Malaysian Institute (GMI) dan UKM,” katanya.

Sumber