Perkhidmatan e-hailing kini bukan lagi sekadar alternatif pengangkutan, malah telah menjadi nadi pergerakan harian buat golongan profesional muda dan pelajar di seluruh Malaysia. Berdasarkan kajian profil pelanggan terkini yang dikeluarkan oleh Maxim Malaysia, dua kumpulan utama ini mendominasi lebih 80 peratus daripada keseluruhan pengguna aplikasinya, mencerminkan kebergantungan tinggi masyarakat terhadap penyelesaian mobiliti yang pantas dan fleksibel.
Menurut data yang dikumpul dari pelbagai bandar di seluruh negara, golongan dewasa bekerja berusia 26 hingga 40 tahun mendahului carta dengan 54 peratus, diikuti rapat oleh kumpulan remaja dan belia berusia 11 hingga 25 tahun yang menyumbang sebanyak 27 peratus. Angka ini membuktikan bahawa pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta anak muda yang baru memulakan kerjaya menjadikan aplikasi Maxim sebagai rakan perjalanan utama untuk ke kampus, tempat kerja, mahupun menjalankan aktiviti harian mereka.
Sementara itu, golongan pengguna berusia 41 hingga 60 tahun dan ke atas turut menyumbang sebanyak 19 peratus, menunjukkan bahawa kemudahan teknologi tempahan pengangkutan semakin mesra pengguna dan diterima baik oleh golongan lebih berusia. Menariknya, Kota Kinabalu mencatatkan rekod tertinggi bagi ketiga-tiga kategori umur tersebut, manakala Kuching pula menonjol dengan 10 peratus pengguna daripada kalangan generasi muda dan pelajar, sekali gus menggambarkan keperluan mobiliti yang dinamik di Malaysia Timur.

Mengulas mengenai trend ini, Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley menjelaskan bahawa perbezaan corak permintaan di setiap bandar seperti Kuala Lumpur, Sandakan, Kuching dan Kota Kinabalu mencerminkan kepelbagaian gaya hidup komuniti setempat. Tambahnya, analisis mengikut kumpulan umur ini sangat penting bagi membolehkan pihak syarikat terus menambah baik pengalaman pelanggan serta menyesuaikan perkhidmatan mengikut perubahan keperluan perjalanan masyarakat moden.
Beroperasi di seluruh negeri sejak tahun 2019, Maxim terus memperkukuh ekosistem digitalnya menerusi aplikasi Maxim dan Taxsee Driver yang tersedia di Google Play Store, App Store, Huawei AppGallery serta pelbagai platform peranti pintar lain. Dengan misi membantu orang ramai mencapai matlamat harian mereka, perkhidmatan ini kekal komited menawarkan perjalanan yang dipercayai untuk pelajar, pekerja dan seluruh keluarga Malaysia.












