Organisasi kemanusiaan antarabangsa, Global Ehsan Relief, bakal menganjurkan majlis makan malam amal Dari Kasih ke Ehsan pada 14 Ogos 2026 di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur sebagai platform menghimpunkan penyumbang, rakan strategik, peminat dan orang ramai yang komited menyokong usaha kebajikan organisasi itu. Majlis berkenaan akan diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid terkenal, Inteam, selain sesi tausiyah yang akan disampaikan oleh duta-duta Global Ehsan Relief Malaysia iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi serta Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin). Pengacara tersohor, Fedtri Yahya pula akan mengemudi acara yang bertujuan mengumpul dana bagi pelbagai projek kemanusiaan. Menurut Pengarah Program, Suffi Shukor, majlis tersebut bukan sekadar makan malam amal, sebaliknya memberi peluang kepada para tetamu menghayati kisah sebenar perjuangan kemanusiaan melalui perkongsian pengalaman di lapangan yang disampaikan dalam suasana penuh inspirasi serta disulami persembahan nasyid bertemakan kasih sayang sesama insan. Beliau berkata, kutipan dana yang disasarkan sebanyak RM500,000 akan disalurkan kepada beberapa inisiatif utama termasuk Ehsan Lokal, Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk serta Projek Umrah Anak Yatim. Sasaran itu dijangka dicapai menerusi jualan tiket individu dan meja korporat. Tiket individu mula dijual hari ini pada harga bermula RM175 menerusi laman web rasmi, manakala pakej meja korporat ditawarkan antara RM5,000 hingga RM25,000 dan layak menikmati pelepasan cukai. Program ini membawa mesej bahawa nilai kasih sayang dan keprihatinan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada golongan memerlukan sekali gus mengajak masyarakat bersama-sama menyebarkan kebaikan. Post navigation The Keris Hidupkan Semula Legenda Hang Tuah Dalam Naratif Moden Penuh Aksi