SHAH ALAM – Usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati akui garang dalam mendidik anak-anaknya supaya menjadi orang yang berdikari dan pandai dalam menguruskan hidup.
Ujar beliau, ketegasannya itu adalah kerana beliau percaya bahawa seseorang itu perlu belajar untuk ‘survival’ (meneruskan hidup) jika mahu berjaya.
“Saya memang sangat garang dengan anak-anak.
Dalam keluarga, saya adalah ‘bad cop’ dan ayah mereka adalah ‘good cop’, jadi kalau ada apa-apa mereka nak minta, semua pergi pada ayah mereka.
“Saya memang ajar anak saya untuk jadi ‘survival’ sebab pada akhirnya ia bergantung kepada apa yang mereka nak buat.
“Saya dah beri modal, jadi mereka patut gunakannya dengan berhati-hati dan tahu apa yang mereka nak buat dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Secekal Ibu Pacu Legasi’ yang dihoskan Hazlin Hussain dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Rita dalam program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Secekal Ibu Pacu Legasi’ yang dihoskan Hazlin Hussain dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Rita berkata, beliau juga memilih untuk menghantar semua anak-anaknya ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina supaya mereka dapat mempelajari bahasa ketiga iaitu bahasa Cina.
Menurutnya, penggunaan bahasa Cina pada masa kini amat penting dan relevan kerana akan memberi banyak manfaat kepada anak-anak mereka.
“Bahasa Cina akan menjadi bahasa kedua di dunia selepas bahasa Inggeris sebab satu dunia ada bangsa Cina.
“Jadi kalau pandai berbahasa Cina, dia akan ada kelebihannya,” ujarnya.
Sementara itu, Rita juga memberi saranan kepada golongan wanita diluar sana supaya selalu merenungkan kesilapan-kesilapan sebelum ini dan cuba perbaikinya pada masa hadapan.
Jelasnya, setiap orang akan ada kelemahan namun perlu ada kesungguhan untuk memperbaikinya.
“Saya percaya semua orang ada kelemahan. Cuma kena ‘step back’ (renungkan semula kesalahan), tengok balik apa yang berlaku, dan betulkan balik.
“Sebab kita tidak sempurna, kita manusia biasa dan akhirnya perlu ada tindakan, doa dan tawakal,” katanya.