Gandingan Hebat 9 Artis Sabah di Konsert ‘A Night With Sumandak Stars’ Ceritara Hatiku!

Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku‘ yang dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka, Orange International Entertainment, telah mencatat sejarah baru dengan kejayaan luar biasa apabila sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie—berjaya memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, menyatakan kebanggaannya atas pencapaian konsert tersebut. “Malam ini adalah bukti kehebatan bakat Sabah yang telah mencipta nama di persada muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar bagi semua artis yang terlibat,” ujar Dato’ Fadzli.

Kesemua artis terkenal ini telah mempersembahkan sebuah pengalaman luar biasa di atas satu pentas, dengan alunan suara memukau dan keunikan gaya masing-masing. Konsert tersebut membawa pengalaman yang penuh dengan emosi, hiburan, dan nostalgia bagi semua peminat yang hadir.

Persembahan dimulakan dengan lagu bertenaga ‘Sumandak Sabah’ yang menggegarkan dewan. Wani Kayrie tampil dengan lagu viral ‘Aiman Tino’, diikuti Ayu Damit yang menyanyikan ‘Hanya Di Mercu’, membawa kembali kenangan ketika dia menjuarai ‘One In A Million’ musim ke-2 hampir dua dekad yang lalu. Marsha Milan menyarung lagu ‘Cinta’, yang meraih naib juara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Bella dan Didi Astillah, duo adik-beradik, menyerlahkan bakat muda mereka dengan ‘Bermanja-manja’, diikuti oleh Bella dengan lagu hit ‘Tapi Bukan Denganmu’ yang penuh emosi.

Persembahan diteruskan dengan Nikki Palikat bersama Adira Suhaimi dan Ayu membawakan lagu ‘Drama’ yang memukau penonton. Salma, juara ‘Mentor’ musim ke-5, turut mempersembahkan ‘Aku Permata’, sementara Adira menyanyikan lagu popular ‘Pujaan Hati’. Azharina, yang digelar ‘Queen of Soul’, memukau hadirin dengan vokalnya yang padu melalui lagu ‘Rawan’, ‘Seandainya’, dan ‘Elegi Sepi’.

Sebagai kejutan istimewa, kesemua artis bergabung di penghujung acara untuk menyanyikan medley lagu ‘Anak Kampung’ dan ‘Original Sabahan’, mencipta suasana penuh keakraban dan nostalgia di kalangan mereka.

Dato’ Fadzli turut menyatakan optimisme terhadap masa depan Orange International, berkata, “Kami sentiasa mencari cara untuk membawa hiburan yang bukan hanya berkualiti tetapi juga bermakna.” Konsert yang turut dirai oleh Yang Dipertua Negeri Sabah ini mendapat sambutan luar biasa dari peminat di Sabah dan Semenanjung.

Penganjur juga merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah yang hadir dari Sabah khusus untuk acara ini. Terima kasih juga diucapkan kepada peminat dari Malaysia, Singapura, dan Brunei yang hadir memberi sokongan.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, konsert ini dijangka akan diteruskan ke negeri Sabah pada tahun depan. “Setelah kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang menampilkan gabungan artis dari pelbagai latar belakang dan genre untuk memberi pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara.”

Kejayaan konsert ini sekali lagi menegaskan komitmen Orange International Entertainment dalam menyediakan platform berkualiti untuk seni muzik dan menyatukan rakyat Malaysia serta serantau dalam semangat kesatuan melalui seni. Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat atas kejayaan ini!