Gabema, KLIEC sasar lahir pakar blockchain

GABEMA Academy mengorak langkah ke hadapan apabila bekerjasama dengan Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC) bagi melahirkan pakar blockchain di negara ini.

Pengarah Urusan Gabema Academy, Norizwan Ali berkata, pihaknya akan bekerjasama sebagai penyedia latihan bertauliah bagi program Profesional Diploma In Blockchain and Decentralized Finance yang mendapat akreditasi oleh London Examination Board (LEB).

Beliau berkata, program itu merupakan inovasi bagi mendepani cabaran semasa dalam era yang semakin kompleks dengan perkembangan teknologi pesat, seterusnya melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran relevan dan mengikut pasaran semasa.

“Dalam dunia yang serba pantas pada hari ini, perkembangan teknologi dalam dunia telah mengubah bentuk industri dengan kemunculan teknologi blockchain dan decentralized finance atau kewangan tidak berpusat.

“Kemunculan teknologi ini juga telah menyebabkan inovasi industri ke arah digital dan menyebabkan peningkatan permintaan bagi profesional yang berkemahiran dalam bidang ini dengan pengetahuan meluas diperlukan.

“Bagi memenuhi keperluan pasaran, program Profesional Diploma In Blockchain and Decentralize Finance diperkenalkan dalam melahirkan pakar dalam bidang tersebut,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penubuhan pusat akreditasi di antara Gabema Academy dan KLIEC.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Gabema Malaysia, Datuk Benjamin Mohd Shariff dan Pengerusi KLIEC Berhad, Datuk Daud.

Gabema Academy merupakan entiti pendidikan yang menawarkan pengajian dalam industri teknologi kewangan digital dengan barisan tenaga pengajar pakar dan mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam industri.

KLIEC merupakan sebuah pertubuhan perintis yang diasaskan di Malaysia dan berdedikasi untuk mempromosikan pendidikan serta latihan bertaraf antarabangsa.

Ketika ini, seramai 15 graduan diploma profesional dalam bidang itu berjaya dilahirkan bagi sesi pengambilan pertama.

Kerjasama tersebut menyasarkan seramai 50 pelajar pada sesi pengambilan kedua yang baru dibuka baru-baru ini, seterusnya mencapai sasaran keseluruhan seramai 1,000 pelajar pada akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Norizwan berkata, program itu bertujuan membuka ruang kepada pelajar untuk mempraktikkan pengetahuan mereka menerusi modul yang diperkenalkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Melalui program itu, jelasnya, pelajar dapat memahami asas pembinaan blockchain, kewangan tidak berpusat, kontrak pintar, menganalisa dalam pasaran digital aset kripto, dapat memastikan pelabur dan syarikat mematuhi undang-undang serta regulasi digital aset kripto.

Katanya, pelajar yang menamatkan pengajian akan mendapat akses dalam jaringan hubungan antara Gabema Academy dan KLIEC dengan syarikat blockhain.

Menurutnya, ia membolehkan pelajar mendapat sokongan dan bantuan dalam membina kerjaya yang sesuai dengan latar belakang dan kemahiran mereka sama ada sebagai tenaga pengajar, konsultan atau penganalisa.

“Mereka juga boleh memilih untuk menggunakan kemahiran dan ilmu yang mereka pelajari dalam memulakan kerjaya sebagai usahawan dalam industri blockchain dan kewangan tidak berpusat.

“Ia sama ada membina projek blockchain bagi kegunaan syarikat atau membawa produk blockchain ke pasaran Malaysia dengan bantuan dan sokongan dari Gabema Academy.

“Kesedaran mengenai blockchain masih rendah di kalangan masyarakat negara ini di mana hanya lima peratus sahaja yang mengetahuinya,” katanya.

Sementara itu, Benjamin berkata, kerjasama akademi dan KLIEC adalah usaha bagi memenuhi permintaan profesional dalam bidang blockchain dan kewangan tidak berpusat yang semakin meningkat.

Beliau berkata, peningkatan tersebut disebabkan kemajuan dan inovasi teknologi yang berkembang pantas di seluruh dunia.

“Orang ramai perlu merebut peluang keemasan ini untuk menjadi pakar dalam industri yang semakin mendapat tempat di seluruh dunia,” ujarnya.

Sumber