Farid Kamil Lancar Perniagaan Motor Elektrik, Sokong Visi Hijau Negeri

oplus_32

Pelakon, pengarah dan usahawan Farid Kamil hari ini memperkenalkan kedai motor elektrik (EV) pertamanya di Selangor menerusi syarikat NEO FK Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama dua rakan kongsi, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim. Inisiatif ini turut mendapat sokongan strategik daripada GGR Motor bagi menggerakkan revolusi mobiliti hijau di Malaysia.

Majlis perasmian yang berlangsung di NEO FK Sdn Bhd, Seria 88 Business Center, Setia Alam disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dengan kehadiran tetamu kehormat, wakil media serta peminat dunia automotif.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Farid Kamil menjelaskan matlamat utama projek ini adalah untuk menyediakan motosikal elektrik yang berkualiti, mampu milik, mesra alam dan praktikal untuk semua lapisan masyarakat. Beliau turut menarik perhatian orang ramai dengan tawaran harga permulaan serendah RM1,599.

Menurutnya, kenderaan elektrik adalah masa depan industri mobiliti dan kerjasama bersama GGR diyakini dapat mempercepatkan perkembangan teknologi ini, bukan sahaja di Selangor malah ke seluruh negara.

Kedai tersebut bakal menawarkan pelbagai model motosikal elektrik lengkap dengan bateri berteknologi moden, ciri pengecasan pantas dan tahap keselamatan yang lebih baik. Usaha ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang penyelenggaraan EV serta memberi ruang kepada vendor tempatan untuk menyertai ekosistem industri hijau.

Farid Kamil turut menyeru lebih ramai penggiat automotif untuk menjadi rakan strategik NEO FK dalam usaha memperkukuh potensi syarikat di peringkat serantau.

Majlis pelancaran diserikan dengan bacaan doa, ucapan penghargaan daripada CEO, gimik pelancaran motosikal elektrik serta sesi temubual media bersama Menteri Besar Selangor dan Farid Kamil.