KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Ernie Zakri membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu, “Sejambak Bunga”, yang diperkenalkan kepada umum pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, 8 Ogos lalu di Esplanade, KLCC Park.

Lagu tersebut dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen “Lerai” hasil karya pereka fesyen Zaimi Zulkafli. Pemilihan pentas berkenaan dilihat cukup bertepatan kerana konsep yang diketengahkan menerusi koleksi “Lerai” mempunyai semangat yang seiring dengan mesej dan jiwa “Sejambak Bunga”.

Gabungan muzik dan fesyen pada malam tersebut turut memberikan dimensi visual yang tersendiri kepada pelancaran karya baharu Ernie. Jika muzik menjadi medium untuk beliau menyampaikan emosi dan kisah kepada pendengar, fesyen pula hadir sebagai bahasa visual yang mampu menerjemahkan perasaan melalui bentuk, gerak dan gaya.

“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya merasakan ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’. Muzik dan fesyen mempunyai cara tersendiri dalam bercerita, namun kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya merasakan pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” kata Ernie.

Lebih daripada sekadar sebuah karya baharu, “Sejambak Bunga” memperlihatkan sisi Ernie yang lebih matang dan introspektif. Lagu ini mengangkat kisah tentang pengalaman hidup yang membentuk seseorang, selain mengajak pendengar untuk belajar menerima apa yang telah berlaku dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih kuat.

Bagi Ernie, lagu tersebut membawa makna yang cukup dekat dengan perjalanan hidupnya. “Sejambak Bunga” disifatkan sebagai sebuah lagu tentang kebangkitan, khususnya mengenai keberanian untuk menerima segala pengalaman yang pernah dilalui, mengambil pengajaran daripadanya dan menjadikan diri lebih baik.

“‘Sejambak Bunga’ bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini. Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” ujarnya.

Dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, “Sejambak Bunga” turut menjadi karya pertama Ernie yang menampilkan sentuhan kedua-dua pencipta lagu tersebut. Antara mesej utama yang mahu disampaikan Ernie menerusi karya ini ialah kepentingan untuk terus memilih kebaikan walaupun pernah berdepan pengalaman yang menyakitkan.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.

Mesej tersebut turut mencerminkan fasa kehidupan Ernie pada hari ini. Sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan anak seni, perubahan yang dilaluinya menjadi sebahagian daripada proses mengenali diri serta membina kematangan, sekali gus mempengaruhi cara beliau memahami dan mendekati muzik.

Bagaimanapun, Ernie tidak mahu “Sejambak Bunga” hanya dilihat sebagai kisah peribadinya. Sebaliknya, beliau berharap setiap pendengar dapat memberikan tafsiran sendiri terhadap lagu tersebut berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidup masing-masing.

“Saya mahu orang mendengar ‘Sejambak Bunga’ dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju. Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” jelasnya.

Dari sudut visual, mawar putih dipilih sebagai simbol utama yang mewakili “Sejambak Bunga”. Mawar tersebut membawa makna ketenangan, harapan dan permulaan baharu, selari dengan semangat lagu yang mengajak seseorang untuk menerima masa lalu tanpa perlu terikat dengannya.

“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang. Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” kata Ernie.

Menerusi “Sejambak Bunga”, Ernie Zakri membuka satu lagi ruang dalam perjalanan seninya untuk berkongsi sisi dirinya yang lebih matang dan dekat dengan realiti kehidupannya hari ini. Pada masa sama, karya tersebut memberi kebebasan kepada pendengar untuk menemukan makna tersendiri berdasarkan kisah, luka dan pengalaman yang pernah mereka lalui.