EP Terbaru Harris J, ‘Revival’, Cerminan Kisah Perjalanan Spiritual

Penyanyi dan penulis lagu dari Britain, Harris J, kini berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan EP terbarunya yang berjudul Revival. Diterbitkan oleh Awakening Music, karya ini menjadi tanda kembalinya Harris J selepas beberapa tahun tidak muncul dengan sebarang projek baharu, sekali gus melambangkan pembaharuan dari segi muzik dan dirinya.

EP Revival memuatkan enam lagu dengan mesej mendalam yang menggabungkan elemen keimanan, kasih sayang serta perjalanan rohani. Setiap lagu mencerminkan kematangan Harris J sebagai seniman dan individu, disampaikan melalui lirik yang penuh penghayatan dan keikhlasan.

Dikenali dengan karya bermesej positif, Harris J mengakui berasa sangat teruja untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat setianya. Baginya, Malaysia sentiasa istimewa di hati dan sokongan yang diterima daripada para peminat di sini menjadi pendorong terbesar. Beliau berharap EP Revival mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka.

EP ini menggabungkan lagu-lagu baharu bersama karya terdahulu yang diberi nafas segar, termasuk ‘Qalbi Fil Madinah’ yang menampilkan kolaborasi bersama Maher Zain, ‘O Allah’, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’. Single utama berjudul ‘Hayati’ turut disertakan dengan video muzik bergaya sinematik arahan pengarah filem Perancis Tunisia, Idris Kheder, yang menjalankan penggambaran di Granada, Sepanyol.

Bagi Harris J, album ini bukan sahaja menandakan kemunculannya semula dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang ingin menginspirasi generasi muda Muslim untuk lebih menghargai identiti mereka serta memahami bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna.

EP Revival kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.