Tag: #SpiritualJourney

  • Farhana Ali Kembali Meriahkan Ramadan Dengan Single Baharu “Ramadan Is Here”

    Farhana Ali Kembali Meriahkan Ramadan Dengan Single Baharu “Ramadan Is Here”

    Penyanyi dan penulis lagu dari United Kingdom, Farhana Ali, kembali dengan karya terbaharu berjudul “Ramadan Is Here”, sebuah single yang dilancarkan pada 15 Februari 2026 sebagai sambutan kepada ketibaan bulan Ramadan. Lagu ini hadir sebagai karya penuh makna yang membawa mesej keimanan dan refleksi, sekali gus mengajak pendengar untuk memperbaharui hubungan spiritual dengan Allah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

    Dikenali dengan suara yang lembut dan penyampaian yang penuh emosi, Farhana Ali telah membina reputasi sebagai antara artis Muslim yang menampilkan muzik berteraskan nilai spiritual. Malah, beliau turut mencipta sejarah sebagai wanita Muslim solo pertama di UK yang mengeluarkan album. Dengan pendekatan muzik yang menyatukan elemen moden dan inspirasi keagamaan, Farhana berjaya menghasilkan karya yang dekat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.

    Melalui lagu “Ramadan Is Here”, Farhana menekankan keindahan dan kepentingan 99 nama Allah, yang menjadi asas kepada mesej utama lagu ini. Liriknya menggalakkan pendengar untuk berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah melalui nama-nama-Nya yang suci sepanjang Ramadan. Antara bait yang memberi kesan mendalam ialah, “Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al Qudoos, He will be waiting for you,” yang menyampaikan mesej harapan dan keikhlasan dalam berdoa.

    Single ini turut diperkukuhkan dengan penerbitan video muzik yang dirakam di London Islamic Cultural Society and Mosque (LICS). Video tersebut memaparkan suasana tenang ibadah dan refleksi, di samping menonjolkan detik-detik indah kehidupan Ramadan seperti persiapan berbuka puasa bersama keluarga, berkongsi hidangan iftar serta persiapan menyambut Hari Raya. Gabungan visual ini memperlihatkan keindahan Ramadan yang bukan sahaja bersifat spiritual, tetapi juga penuh dengan nilai kekeluargaan dan kebersamaan.

    Menurut Farhana, lagu ini dihasilkan dengan harapan untuk memberi inspirasi kepada pendengar agar lebih menghargai makna sebenar Ramadan. Beliau yang turut bernaung di bawah label Universal Music menyatakan bahawa karya ini merupakan cara beliau menggunakan muzik sebagai medium untuk menyebarkan mesej keimanan, kedamaian dan perpaduan kepada masyarakat.

    Kini, “Ramadan Is Here” boleh didapati di semua platform penstriman muzik utama, sekali gus menawarkan sebuah karya yang sesuai dijadikan latar iringan bagi menyemarakkan suasana Ramadan dengan elemen refleksi dan ketenangan.

  • EP Terbaru Harris J, ‘Revival’, Cerminan Kisah Perjalanan Spiritual

    EP Terbaru Harris J, ‘Revival’, Cerminan Kisah Perjalanan Spiritual

    Penyanyi dan penulis lagu dari Britain, Harris J, kini berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan EP terbarunya yang berjudul Revival. Diterbitkan oleh Awakening Music, karya ini menjadi tanda kembalinya Harris J selepas beberapa tahun tidak muncul dengan sebarang projek baharu, sekali gus melambangkan pembaharuan dari segi muzik dan dirinya.

    EP Revival memuatkan enam lagu dengan mesej mendalam yang menggabungkan elemen keimanan, kasih sayang serta perjalanan rohani. Setiap lagu mencerminkan kematangan Harris J sebagai seniman dan individu, disampaikan melalui lirik yang penuh penghayatan dan keikhlasan.

    Dikenali dengan karya bermesej positif, Harris J mengakui berasa sangat teruja untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat setianya. Baginya, Malaysia sentiasa istimewa di hati dan sokongan yang diterima daripada para peminat di sini menjadi pendorong terbesar. Beliau berharap EP Revival mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka.

    EP ini menggabungkan lagu-lagu baharu bersama karya terdahulu yang diberi nafas segar, termasuk ‘Qalbi Fil Madinah’ yang menampilkan kolaborasi bersama Maher Zain, ‘O Allah’, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’. Single utama berjudul ‘Hayati’ turut disertakan dengan video muzik bergaya sinematik arahan pengarah filem Perancis Tunisia, Idris Kheder, yang menjalankan penggambaran di Granada, Sepanyol.

    Bagi Harris J, album ini bukan sahaja menandakan kemunculannya semula dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang ingin menginspirasi generasi muda Muslim untuk lebih menghargai identiti mereka serta memahami bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna.

    EP Revival kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.