Selepas sekian lama mencipta nama dalam industri muzik tempatan, bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi kembali menemui peminat menerusi single terbaharunya berjudul “Tersakiti”. Menampilkan genre balada, lagu ini mengangkat kisah tentang luka, kekecewaan serta keberanian untuk melepaskan sebuah hubungan yang tidak lagi memberikan kebahagiaan. “Tersakiti” bukan sekadar berkisar tentang perpisahan, malah membawa mesej mengenai kepentingan menyayangi diri sendiri dan berani keluar daripada hubungan yang tidak sihat. Lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya komposer dari Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta perhatian menerusi lagu popular “Menjaga Jodoh Orang Lain” nyanyian Ara Johari. Karya berkenaan antara lagu yang mencatat jumlah penstriman tinggi di Malaysia pada tahun lalu. Menerusi “Tersakiti”, Ilham mengetengahkan melodi yang penuh emosi bersama lirik yang dekat dengan pengalaman kehidupan individu yang pernah berdepan kekecewaan dalam percintaan. Menurut Emma, mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu itu cukup jelas, iaitu seseorang perlu berani meninggalkan hubungan toksik sebelum luka yang dialami menjadi semakin parah. Katanya, ada kalanya seseorang terlalu lama bertahan kerana mengharapkan keadaan akan berubah, sedangkan keputusan tersebut hanya menyebabkan diri sendiri terus terluka. “Bagi saya, mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’. Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya. Emma berkata, jalan cerita yang diketengahkan dalam “Tersakiti” cukup dekat dengan realiti masyarakat hari ini kerana masih ramai yang memilih untuk memendam perasaan dan bertahan dalam hubungan walaupun menyedari bahawa kebahagiaan yang dicari sudah tidak lagi wujud. Justeru, dia berharap lagu berkenaan dapat menjadi ruang untuk pendengar memahami bahawa melepaskan bukan bermaksud gagal, sebaliknya satu bentuk keberanian untuk menjaga diri sendiri. Mengulas mengenai kerjasamanya dengan Ilham Baso, Emma menjelaskan bahawa reputasi komposer tersebut bukan faktor utama yang membuatkannya memilih untuk bekerjasama. Sebaliknya, pendekatan Ilham yang fleksibel dan terbuka sepanjang proses rakaman menjadi antara perkara yang membuatkan mereka mudah membina keserasian. “Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi turut memberi ruang kepada penyanyi untuk berkarya ketika proses rakaman. Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya. Bercerita mengenai cabaran sepanjang merakamkan “Tersakiti”, Emma mengakui perkara paling mencabar bukanlah dari aspek teknikal vokal, tetapi memastikan setiap emosi yang terkandung dalam lagu benar-benar dapat dirasai oleh pendengar. Baginya, karya seperti itu tidak memadai sekadar dinyanyikan dengan baik, sebaliknya memerlukan penghayatan yang mendalam supaya kisah di sebalik lirik dapat disampaikan dengan berkesan. “Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah ‘Tersakiti’. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya. Emma turut mengakui pengalaman hidup yang pernah dilaluinya membantu dalam proses menghayati lagu tersebut. Tanpa berselindung, penyanyi itu berkata dia sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan kekecewaan yang dilaluinya selama hampir 16 tahun membuatkan dirinya lebih memahami setiap bait lirik dalam lagu berkenaan. “Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan. Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya. Antara bait lirik yang paling dekat dengan hati Emma ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”. Menurutnya, baris tersebut membawa makna yang cukup besar kerana ia menggambarkan hakikat bahawa tidak semua perkara yang membuat seseorang bahagia akan kekal menjadi miliknya. Dalam kehidupan, ada masanya seseorang perlu belajar menerima kenyataan dan melepaskan sesuatu sebelum rasa sakit menjadi lebih mendalam. Emma berharap “Tersakiti” dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan, khususnya individu yang memilih untuk menyimpan luka seorang diri. Dia percaya kisah yang dibawa menerusi lagu itu mungkin mewakili pengalaman ramai orang yang tidak pernah berpeluang untuk meluahkan apa yang mereka rasakan. “Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap ‘Tersakiti’ boleh menjadi suara kepada mereka. Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya. Dalam pada itu, Emma menyifatkan keseluruhan proses pembikinan “Tersakiti” berjalan lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham Baso. Menurutnya, setiap perkara dapat dibincangkan dengan mudah dan proses daripada peringkat awal sehingga lagu tersebut disiapkan berlangsung dalam suasana yang profesional. “Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional. Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya. Dengan gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan muzik yang kemas serta lirik yang sarat dengan makna, “Tersakiti” diharap mampu membuka lembaran baharu buat Emma Suhaimi dalam perjalanan seninya. Pada masa sama, karya tersebut berpotensi menjadi pilihan baharu buat peminat muzik balada yang gemarkan lagu berteraskan kisah kehidupan, emosi dan realiti hubungan manusia. Post navigation The Nurts and Subang Jaya Medical Centre Join Forces to Encourage Family Health Conversations Through Storytelling Ernie Zakri Buka Babak Baharu Menerusi “Sejambak Bunga”