Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Februari 2025, yang memberikan gambaran awal tentang hala tuju ekonomi negara dalam jangka masa terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 112.4 mata bagi bulan Februari 2025, mencerminkan penyusutan marginal sebanyak 0.004 mata berbanding tahun sebelumnya. Penurunan ini berpunca daripada kemerosotan ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaannya (-34.5%) serta import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-21.5%).
Dari segi bulanan, IP menyusut 0.2 peratus pada Februari 2025, menunjukkan penurunan yang lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya (Januari 2025: -1.1%). Penurunan ini sedikit terimbang oleh peningkatan 0.5 peratus dalam import benar semi konduktor. Berdasarkan arah aliran jangka panjang yang terlicin, IP kekal di bawah paras 100.0 mata, menggambarkan jangkaan penyederhanaan pertumbuhan ekonomi.
Walaupun menghadapi ketidaktentuan global dan kesan limpahan yang kompleks, ekonomi Malaysia dijangka terus menyederhana secara stabil, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh dan struktur pasaran yang semakin berdaya tahan.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi semasa ekonomi meningkat 2.0 peratus kepada 144.8 mata pada Februari 2025 berbanding 124.7 mata bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini melibatkan semua komponen IS, sekali gus memberi petunjuk kepada aktiviti ekonomi semasa yang semakin rancak. Dari perspektif bulanan, IS turut naik 1.9 peratus, menunjukkan pemulihan yang positif selepas penurunan 1.4 peratus pada Januari. Lonjakan ini didorong terutamanya oleh peningkatan dalam kapasiti penggunaan sektor pembuatan sebanyak 2.3 peratus.
Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, DOSM akan mengetuai Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15), yang bertujuan memperkukuh kerjasama statistik bagi menyokong pembangunan serantau yang mampan.
Sebagai usaha menyemarakkan kesedaran awam terhadap peranan data, kerajaan telah menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’. Pada tahun yang sama, Hari Statistik Dunia Keempat akan turut disambut pada tarikh yang sama dengan tema ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.
Untuk maklumat serta akses kepada katalog data dan visualisasi statistik interaktif, orang ramai boleh melayari portal https://open.dosm.gov.my melalui platform OpenDOSM NextGen.