Sentuhan berbisa komposer tersohor Eddie Hamid menerusi lagu “Cinta Setandan Pisang” atau lebih dikenali sebagai “Bae Soba Bae” nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo yang dilancarkan pada Disember 2023 ternyata memberi impak besar kepada kedua-dua penyanyi tersebut. Lagu yang liriknya ditulis oleh Fadil Turbo dan Mama Ana itu berjaya meraih lebih 33 juta tontonan di saluran YouTube Kijang Music sehingga kini.

Tahun ini, Eddie kembali menghasilkan karya baharu buat pasangan duet berkenaan bersama komposer berbakat, Mekiya menerusi lagu “Adek Saye Abe Sore”. Lagu yang menampilkan lirik ciptaan Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha itu dijadualkan dilancarkan pada 26 Mac 2026.

Menurut Eddie, “Adek Saye Abe Sore” merupakan kesinambungan daripada kejayaan lagu “Cinta Setandan Pisang” yang kini sedia untuk diperdengarkan kepada peminat. Kali ini, Eda Ezrin dan Den Manjo bakal tampil dengan susunan muzik yang lebih moden berbanding karya terdahulu, namun masih mengekalkan elemen dikir barat sebagai identiti utama lagu tersebut. Beliau turut menjangkakan lagu ini mampu mengulangi kejayaan yang pernah diraih sebelum ini. Eddie turut mendedahkan bahawa lagu tersebut sebenarnya telah dihasilkan lebih setahun lalu, namun terpaksa disimpan susulan situasi yang melibatkan Eda Ezrin. Walaupun menerima permintaan daripada beberapa penyanyi lain, beliau tetap memilih untuk menyimpannya kerana merasakan genre dan vokalnya sangat sesuai dengan Eda Ezrin, selain menjadi kesinambungan kepada karya terdahulu.

Bagi Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, peluang untuk kembali bergandingan dengan Den Manjo disifatkan sebagai sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Beliau meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang terus diberikan oleh Eddie Hamid dan menyatakan bahawa proses rakaman berjalan dengan lancar memandangkan mereka sudah mempunyai keserasian hasil kerjasama sebelum ini. Tempoh rakaman juga tidak mengambil masa lama kerana masing-masing sudah memahami peranan dan bahagian masing-masing, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut lebih mudah dan menyeronokkan.

Walaupun sudah biasa bekerjasama dengan pasukan produksi yang sama, Eda mengakui tetap berdebar menantikan maklum balas daripada pendengar. Perasaan tersebut timbul kerana menyedari lagu ini pasti akan dibandingkan dengan karya sebelumnya, namun beliau tetap berharap agar “Adek Saye Abe Sore” mampu diterima baik oleh orang ramai serta berpotensi untuk berada di tangga teratas carta lagu.

Selepas melalui episod sukar dalam kehidupannya sebelum ini, Eda bersyukur kerana rezekinya dalam industri hiburan terus berjalan lancar dan berharap kehadiran lagu ini akan membuka lebih banyak ruang untuknya terus berkarya.

Den Manjo atau nama sebenarnya Mohamad Hafizzudin Md. Yusof pula menyifatkan peluang merakamkan lagu terbitan Kijang Music ini sebagai satu penghargaan yang amat bermakna. Beliau mengakui tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan Eda Ezrin selepas kejayaan lagu duet mereka sebelum ini. Walaupun terpaksa menunggu agak lama, beliau tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dan berharap lagu ini akan menerima sambutan hangat seperti karya terdahulu.

Lagu “Adek Saye Abe Sore” terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik digital pada 26 Mac 2026, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music bermula 25 Mac 2026 jam 8 malam menerusi pautan https://youtu.be/cDee7SZwtbk?si=kBnG2y8VmXO-iNIz