Pasangan penyanyi Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie kembali bergandingan menerusi single terbaharu berjudul Bertahan Denganmu, sebuah karya yang mengangkat realiti kehidupan berumah tangga serta cabaran yang sering dihadapi dalam sesebuah hubungan. Diterbitkan hasil kerjasama Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment, lagu ini mengetengahkan kisah tentang perjuangan mempertahankan cinta di sebalik pelbagai ujian seperti masalah kewangan, konflik dan tekanan kehidupan yang mampu menguji kesetiaan serta keutuhan sesebuah ikatan.

Bertahan Denganmu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Dearlynnns, komposer dan penulis lirik yang sebelum ini dikenali menerusi karya Sengketa Asmara Luka. Lagu ini hadir sebagai dedikasi kepada pasangan yang sedang berusaha mempertahankan hubungan mereka, sekali gus membawa mesej bahawa keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan menjadi asas penting dalam mengharungi setiap dugaan yang mendatang. Menurut Dearlynnns, karya tersebut lahir daripada realiti kehidupan yang dilalui ramai individu, sama ada mereka yang sedang bercinta, berusaha membina masa depan bersama atau pasangan yang telah mendirikan rumah tangga.

Bagi Azzam Sham, lagu ini mempunyai nilai sentimental yang cukup istimewa kerana melodi dan jalan ceritanya sangat dekat dengan kehidupan beliau dan isterinya. Sejak pertama kali mendengar lagu tersebut, mereka berdua terus dapat merasai emosi yang ingin disampaikan dan percaya mesej yang dibawakan mampu menyentuh hati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kejujuran dalam lirik serta penyampaian vokal yang penuh penghayatan menjadikan Bertahan Denganmu sebuah karya yang mudah dihayati oleh mereka yang pernah melalui cabaran dalam perhubungan.

Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie bukanlah nama asing dalam industri muzik tempatan. Kedua-duanya mula dikenali menerusi program realiti Big Stage dan terus membina kerjaya dengan karya masing-masing seperti Cinta Jangan Pergi nyanyian Azzam Sham dan Perasaanku oleh Sheryl Shazwanie. Selepas mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022 serta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, mereka turut bergandingan menerusi lagu raya Meriah Hari Raya pada tahun 2025 sebelum kembali dengan karya yang lebih menyentuh emosi menerusi Bertahan Denganmu.

Pasangan ini turut merakamkan penghargaan kepada penerbit Tam Ali, Dearlynnns selaku komposer dan penulis lirik, serta Luncai Emas dan seluruh pasukan produksi yang telah memberikan kepercayaan dan komitmen dalam menjayakan projek tersebut. Mereka juga menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka sehingga kini.

Bagi melengkapkan penceritaan lagu ini, video muzik rasmi Bertahan Denganmu yang diarahkan oleh Tam Ali kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment. Dengan mesej yang dekat dengan kehidupan sebenar serta gabungan vokal yang penuh emosi daripada pasangan suami isteri ini, Bertahan Denganmu dijangka mampu meninggalkan kesan mendalam dan menjadi teman kepada pendengar yang sedang melalui pelbagai fasa dalam sesebuah hubungan.