KEMATIAN mengejut wanita selepas bersalin salah satunya adalah akibat sesak nafas. Puncanya kerana terdapat darah beku pada paru-paru atau mengalami pulmonory embolism (PE).
Apa itu PE?
Pulmonory embolism (PE) iaitu darah beku pada paru-paru. Ibu hamil dan bersalin berisiko mengalami PE kerana kandungan darah mereka ketika itu lebih pekat daripada kebiasaannya.
Selain itu, pembesaran bayi dalam kandungan menekan saluran darah. Hal itu menyebabkan saluran darah utama menjadi kurang lancar, kemudiannya menyebabkan terbentuk darah beku di saluran darah pada betis.
Terdapat juga sebab lain seperti ibu yang melalui proses pembedahan dan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.
Darah beku terbentuk akan berkumpul pada bahagian betis, ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan sakit ketika berjalan.
Gejala itu perlu diberi rawatan awal, jika tidak darah beku dalam saluran darah boleh bergerak pada bila-bila masa di saluran paru-paru. Ia boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.
Ibu lebih berisiko diserang PE sekiranya dalam situasi:
– Berumur lebih daripada 35 tahun.
– Mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
– Bersalin secara pembedahan.
– Ibu ada penyakit darah tinggi semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.
– Mengalami masalah air ketuban banyak.
– Melahirkan anak kembar.
– Ibu pernah berhadapan masalah darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
– Tumpah darah semasa bersalin.
Tanda awal PE berlaku:
– Berlaku dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin.
– Sukar bernafas.
– Denyutan nadi sangat laju.
– Sakit dada.
– Batuk berdarah.
Bagi mengawal PE daripada berlaku, amalkan beberapa langkah tersebut:
– Sentiasa bergerak dan berjalan serta jauhi sifat malas untuk bergerak.
– Pakai stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki.
– Suntikan ubat pencair sekiranya dirasakan perlu.
– Minum air dengan banyak.
Saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.