Cipta 3 Malam Ini Gua Rock Gegarkan Axiata Arena

Konsert Cipta 3 Malam Ini Gua Rock berlangsung dengan penuh gegar gempita di Axiata Arena pada 27 September 2025 bermula jam 8 malam. Dibawakan oleh penganjur Icon Entertainment dengan sokongan penaja utama Etiqa bersama DTC sebagai pengangkutan rasmi serta rangkaian radio Era, Sinar, Gegar dan Zayan dan Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, konsert ini berjaya menghimpunkan semangat rock dalam sebuah persembahan yang memukau.

Segmen pembukaan dimulakan dengan deretan lagu malar segar berjudul Isi Atau Kulit, Musnah dan Jerangkung Dalam Almari sebelum diteruskan dengan Pembakar Perasaan dan Opera Hidup. Suasana terus memanas apabila Apa Lagi dimainkan, membuka tirai persembahan dengan penuh tenaga.

Segmen kedua membawa penonton menyelami sisi romantis rock dengan Laila Namamu Teratas dan Srikandi Cintaku. Lagu Jiwa-Jiwa Luka dan Rupa Tanpa Wajah menambah kedalaman emosi, menjadikan suasana lebih syahdu dan penuh penghayatan.

Segmen ketiga menjadi antara yang paling ditunggu dengan gabungan lagu penuh makna seperti Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah dan Mahligai Syahdu. Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa dan Meniti Titian Usang memberikan nuansa klasik yang menggamit nostalgia. Persembahan diteruskan dengan Di Jalan Sesat, Kau Ratnaku dan Hipokrasi sebelum disusuli lagu berentak lantang berjudul Aku Dah Bosan yang membuat penonton berdiri bersorak.

Segmen keempat menghadirkan suasana lebih intim dengan Cinta Sepi, Saatku Idamkan dan Gemuruh yang terus membakar semangat penonton di seluruh arena.

Segmen kelima menutup perjalanan lagu dengan himpunan karya yang membangkitkan jiwa iaitu Impian Seorang Nelayan nyanyian asal Kembara, diikuti Perjuangan, Hati Emas, Gerhana serta Duit Duit yang memberikan aura rock klasik tanpa tandingan.

Akhirnya pentas menutup tirai dengan dua lagu ikonik iaitu Apokalips dendangan DMN dan Pawana versi koplo yang menutup malam dengan penuh semangat.

Konsert ini digerakkan oleh barisan pemuzik hebat yang terdiri daripada Nan Alias dan Rafi Mohd di gitar, Firdaus Mahmud serta Eddie Slam di keyboard, Norman Abdullah di bass, Ujang Exists di drum, Pa’ang Zaman di bahagian perkusi Latin, Awe Hisharudy di perkusi tradisional, Boy Razli dengan alunan gambus, Mohar dengan tiupan flute serta barisan vokal latar iaitu Eja Muhamad Nor, Juanita Ismail, Sutan Yuaz, Awe Azran dan Widy Hamzah.

Gabungan karya legenda, susunan muzik segar dan persembahan penuh tenaga menjadikan Cipta 3 bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pengalaman rock yang mengingatkan bahawa muzik ini sentiasa hidup dan akan terus menjadi nadi kepada peminatnya.