CHAGEE Malaysia dan Kumpulan Magma Umum Usahasama Strategik Perluas Rangkaian Teh Premium di Malaysia

Dalam langkah memperkukuh kedudukan dalam pasaran minuman premium yang pesat berkembang, CHAGEE Malaysia, jenama teh premium antarabangsa, mengumumkan kerjasama strategik bersama Kumpulan Magma Berhad, sebuah konglomerat terkemuka Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang hospitaliti dan pembangunan hartanah.

Menerusi usahasama ini, anak syarikat milik penuh Kumpulan Magma, Magma Chain Management Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian kerjasama dan langganan dengan CHAGEE (M) Sdn Bhd. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk mempercepatkan peluasan runcit CHAGEE secara berperingkat di seluruh Malaysia.

Di bawah struktur usahasama, syarikat baharu Chagee Magma Sdn Bhd (JVC) telah ditubuhkan, dengan CHAGEE (M) memegang 60% kepentingan dan Magma Chain Management sebanyak 40%. Melalui entiti ini, sehingga 300 cawangan CHAGEE yang diurus secara langsung dirancang untuk dibuka dalam tempoh tiga tahun akan datang, tertakluk kepada faktor dan keadaan pasaran semasa. Maklumat lanjut berkaitan pembukaan cawangan pertama akan diumumkan kelak.

Jenama CHAGEE, yang mula bertapak pada tahun 2017, telah merevolusi pengalaman teh tradisional dengan pendekatan gaya hidup moden, teknologi terkini dan penjenamaan inovatif. Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2019 di bawah nama BaWangChaJi dan melalui penjenamaan semula pada 2021, CHAGEE kini menjadi pasaran luar negara terbesar bagi jenama itu. Tambahan pula, kesemua operasi CHAGEE Malaysia telah diiktiraf Halal oleh JAKIM satu langkah penting dalam memenuhi keperluan pengguna Muslim di Malaysia.

Dato’ Sri Thomas Liang Chee Fong, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Magma berkata:

“Usahasama ini mencerminkan visi strategik kami untuk meluaskan portfolio ke dalam segmen gaya hidup dan minuman premium yang berpotensi tinggi. Kami yakin dengan kekuatan jenama CHAGEE yang telah berjaya menawan hati pengguna global, serta sokongan dari penyenaraiannya di Nasdaq. Dengan pengalaman pasaran tempatan yang mendalam dan kepakaran pembangunan yang kami miliki, kami melihat potensi besar untuk mencipta nilai dalam pasaran teh premium tempatan.”

Kerjasama ini memperkukuh sinergi antara kekuatan operasi dan jenama global CHAGEE dengan kebolehan tempatan serta rangkaian komersial Kumpulan Magma. Melalui gabungan kepakaran ini, peluasan strategik CHAGEE di Malaysia dijangka lebih pantas dan mampu memenuhi permintaan pengguna moden yang mahukan pengalaman minuman yang bukan sekadar sedap, tetapi juga selari dengan gaya hidup mereka.

Langkah ini juga selaras dengan aspirasi jangka panjang Kumpulan Magma dalam membina portfolio pelaburan yang berdaya tahan dan memacu pertumbuhan mampan, sambil menawarkan nilai lestari kepada para pemegang saham.