Category: ATTRACTION

  • World #QuranHour bina rasa cinta kepada al-Quran

    World #QuranHour bina rasa cinta kepada al-Quran

    Hussamuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Hussamuddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour merupakan titik tolak bagi membina rasa cinta terhadap al- Quran dalam kalangan masyarakat Islam seluruh dunia

    Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, ramai kalangan umat Islam masa kini tidak menjadikan kalam suci itu sebagai panduan dalam kehidupan.

    “World #QuranHour bukan semata-mata sebuah program keagamaan tetapi sebuah gerakan dan kempen berskala besar yang mengajak umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

    “Kita mahu wujudkan gelombang yang terdiri daripada umat Islam seluruh dunia (untuk) berhimpun dalam satu masa, satu jam dan meraikan al-Quran sekali gus menjadi momentum solidariti untuk tingkatkan bacaan, kefahaman dan amalan,” katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

    Datuk Hussamuddin Yaacob

    Datuk Hussamuddin Yaacob

    Mengulas lanjut Hussamuddin berkata, penganjuran program tersebut turut membuka ruang kepada umat Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai pembentuk karakter, cara fikir serta amalan dalam kehidupan seharian.

    “Misi kita adalah untuk ‘mengqurankan’ bangsa yang apabila ada al-Quran dalam hati, jiwa dan minda, kita dapat lihat perubahan besar (berlaku) kerana banyak ajaran dalam kalam suci itu sudah ‘unlocked’.

    “Justeru program yang dilakukan setiap tahun sejak 2015 ini bukan hanya kejayaan terhadap program, tetapi bagaimana mempertingkatkan mutu Islam,” ujarnya.

    Dalam pada itu Hussamuddin turut menjelaskan, pemilihan tarikh program pada 24 Ramadan bertujuan untuk mengimarahkan suasana 10 hari terakhir bulan mulia itu.

    Katanya, sepanjang 10 hari itu merupakan kemuncak perjuangan ibadah bagi setiap umat Islam yang mengharapkan keredaan ALLAH atas setiap amal dilakukan.

    World #QuranHour yang berlangsung di Studio TV Alhijrah turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menyertai bacaan surah Al-Sajdah.

    Sumber

  • Ibnu Khaldun pelopor pemikiran moden dalam pelbagai bidang

    Ibnu Khaldun pelopor pemikiran moden dalam pelbagai bidang

    NAMA Ibnu Khaldun antara cendekiawan Islam yang tidak asing lagi sekitar abad ke-14. Beliau melakar sejarah sendiri ketika zaman itu dengan kehebatannya sebagai seorang tokoh sejarawan dan pemikir Islam dalam bidang sosial, politik, pendidikan dan falsafah yang diiktiraf oleh seantero dunia.

    Figura hebat kelahiran Tunisia pada 1332 Masihi itu diiktiraf sebagai pengasas kajian sejarah moden, sosiologi dan ekonomi.

    Pandangan Ibnu Khaldun turut dikagumi bukan sahaja oleh tamadun Islam, tetapi juga dunia Barat. Tokoh sejarah berketurunan Yahudi, Profesor Emeritus Dr Bernerd Lewis menyifatkan Ibnu Khaldun sebagai ahli sejarawan Arab yang hebat pada zaman pertengahan.

    Pemilik nama Abd Rahman bin Muhammad bin Muhammad dikenali sebagai Ibnu Khaldun sempena nama tempat kelahirannya iaitu di kawasan Khalduniyah di Tunisia.

    Menyoroti historiografinya, ia agak menarik untuk disingkap dengan penuh keinsafan. Lelaki berketurunan Arab Yemen itu bukan sembarangan individu. Bapanya merupakan seorang sarjana. Kehandalan beliau dalam pelbagai bidang itu sebenarnya sudah terbukti sejak kecil lagi.

    Masakan tidak, tokoh hebat itu sudah menghafaz al-Quran sejak kecil, selain menguasai pelbagai bidang ilmu pada usia belasan tahun. Ketekunannya menggali ilmu fardu ain dan kifayah memang sudah dilentur pada usia yang muda.

    Ketika berusia18 tahun, ilmuan genius itu terpaksa berhenti belajar gara-gara Tunisia ditimpa wabak taun. Beliau bagaimanapun kembali melanjutkan pengajian tinggi dengan guru dan ulama terkenal ketika tinggal di Fez, Maghribi.

    Sekitar tahun 1375, Ibnu Khaldun berhijrah ke Granada, Sepanyol. Sekali lagi beliau merantau lantaran keadaan politik di negara tersebut tidak stabil. Beliau ke Algeria, Bougie dan akhir sekali ke Mesir yang menjadi destinasi akhirnya.

    Tokoh ilmu, pemikiran yang hebat

    Biarpun merentas pelbagai ranjau dan liku ketika menuntut ilmu, namun ia tidak ‘merencatkan’ pemikiran Ibnu Khaldun.

    Ilmu masyhur itu merupakan tokoh penting yang mampu menganalisis tamadun dari segi formula, faktor kegemilangan dan kejatuhannya. Beliau juga berupaya memberi tafsiran sejarah berdasarkan ekonomi, psikologi, sosiologi, alam sekitar dan geografi.

    Ibnu Khaldun bukan sekadar pemikir semata-mata. Sebaliknya, gagasan fikrahnya itu turut diaplikasikan ketika diberi tanggungjawab menyandang jawatan penting dalam negara.

    Menurut riwayat yang masyhur, figura hebat berkenaan dikatakan berkhidmat selama lebih 20 tahun untuk beberapa negara antaranya Tunisia, Maghribi, Andalus dan di Timur Tengah.

    Kewibawaannya menonjol apabila dilantik menjadi kadi di Mesir. Figura hebat itu mampu mentadbir dengan baik. Kebijaksanaannya itu juga mendorong Sultan Mesir ketika itu, Sultan Burquq memberikan gelaran Waliyuddin kepada Ibnu Khaldun.

    Ketokohannya begitu terserlah kerana berjaya memajukan konsep ekonomi, perdagangan, kebebasan dan terkenal dengan hasil kerjayanya dalam pelbagai bidang.

    Ternyata beliau dikurniakan kebolehan yang bukan calang-calang. Ibnu Khaldun begitu masyhur apabila idea yang dibangunkannya berkaitan dengan peranan kerajaan diguna pakai sehingga ke hari ini.

    Menurut beliau, tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya daripada keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan dan menguruskan penghasilan wang.

    Ibnu Khaldun juga terkenal sebagai pelopor kepada pemikiran moden seperti sejarah, politik, ekonomi, sosiologi dan pendidikan. Maka, tidak hairanlah beliau digelar sebagai bapa sejarah kebudayaan dan sains sosial moden.

    Dari segi ekonomi, Ibnu Khaldun ialah individu penting yang memajukan teori nilai dan hubung kait dengan tenaga buruh. Beliau juga memperkenalkan pembahagian tenaga kerja dan menyokong pasaran terbuka.

    Selain itu, beliau antara orang yang menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga serta keuntungan, menolak cukai yang tinggi dan menyokong perdagangan bebas dengan orang asing. Beliau percaya kepada kebebasan memilih. Ia bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka.

    Sesungguhnya, keintelektualan formasi pemikiran Ibnu Khaldun banyak diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat moden yang mahu mengimbangi antara pembangunan fizikal dan spiritual.

    Biarpun tokoh hebat itu sudah meninggal dunia pada 1406 Masihi ketika berusia 76 tahun di Kaherah, Mesir, namun warisan peninggalannya memberi 1,001 rahmat kepada seluruh dunia.

    PROFIL

    Nama: Abd Rahman bin Muhammad bin Muhammad

    Gelaran: Ibnu Khaldun

    Kepakaran: Sosial, sejarah, politik, pendidikan, ekonomi, falsafah, psikologi, sosiologi, alam sekitar dan geografi

    Tahun kelahiran: 1332 Masihi

    Tahun kematian: 1406 Masihi

    Karya agung:

    – Karya pertama Ibnu Khaldun ialah al-Ibar.

    – Kitab al-Muqaddimah merupakan jilid pertama kitab al-Ibar yang mempunyai tujud jilid.

    – Ketinggian pemikiran dan ilmu beliau dalam kitab al-Muqaddimah telah diiktiraf oleh sarjana Muslim dan Barat.

    – Kitab itu menjadi kemuncak karya pemikiran dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan mempunyai huraian jelas terutama hukum-hukum berkaitan ilmu sains sosial atau sosiologi.

    Sumber

  • Teknologi canggih kereta api peluru

    Teknologi canggih kereta api peluru

    PEMBUKAAN landasan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang dengan kos 58.4 bilion yuan (RM34.43 bilion) itu dikatakan projek pintar pertama di dunia dengan spesifikasi cukup canggih.

    Kejayaan China membangunkan teknologi kereta api pintar tanpa pemandu yang dilengkapi teknologi komunikasi generasi kelima (5G) itu begitu mengagumkan.

    Dengan siapnya pembinaan landasan kereta api peluru pintar pertama dunia melibatkan kos hanya 58.4 bilion yuan (RM34.43 bilion), keupayaan negara itu tidak boleh disangkal lagi.

    Lebih mengejutkan, kecanggihan reka bentuk landasan terbabit adalah yang pertama seumpamanya di dunia. Ia juga menggunakan teknologi robotik untuk membaiki dan menyelenggara kereta api.

    Selain rangkaian isyarat 5G dan pencahayaan canggih, sebanyak 2,718 sensor dipasang untuk mengumpul data masa nyata dan mengesan apa-apa kelainan operasi.

    Apa lagi yang canggih? Ya, setiap kerusi penumpang mempunyai panel kawalan skrin sentuh sendiri dan tempat mengecas tanpa wayar yang selesa. Jadi, segala urusan berkaitan boleh dilakukan dengan mudah.

    Di stesen pula, sistem pengenalan wajah dan teknologi robotik digunakan untuk membantu memberikan arahan, mengangkat bagasi dan mendaftar masuk penumpang tanpa penggunaan kertas.

    Semua itu hanyalah untuk persediaan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022!

    Landasan yang menghubungkan bandar kedua terbesar China dengan Zhangjiakou sejauh 108 batu nautika itu boleh direntasi hanya dalam masa 47 minit.

    SPESIFIKASI canggih termasuk mengecas tanpa wayar disediakan untuk penumpang Kereta api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang.

    SPESIFIKASI canggih termasuk mengecas tanpa wayar disediakan untuk penumpang Kereta api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang.

    Satelit global

    Sejauh mana ‘pintarnya’ kereta api berkelajuan tinggi terbaharu yang dikenali sebagai siri ‘Fuxing’ dengan nama asalnya ‘Hexie’ yang bermakna keharmonian itu?

    Memetik laporan Dailymail.co.uk, pakar China mendakwa, kereta api yang menggunakan gerabak penumpang dengan spesifikasi canggih itu mampu bergerak dengan kelajuan 350 kilometer (km) sejam.

    Hanya dalam tempoh empat tahun, projek landasan meliputi jarak 174km dengan 10 perhentian berkenaan dibuka secara rasmi untuk kegunaan umum pada 30 Disember lalu.

    Jika diimbas kembali, teknologi kereta api peluru tanpa pemandu sudah lama dibangunkan di China, malah menjadi bahagian penting dalam rangkaian pengangkutan awam di negara tembok besar tersebut.

    Bermula pada tahun 1909, landasan kereta api pertama dibina bagi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou yang mengambil masa lebih lapan jam.

    Namun kini, laluan asal itu sudah ditutup dan tidak lagi berfungsi. Kebanyakan stesen asal dihentikan operasi sejak 2016 lagi bagi memberi laluan kepada projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi yang baharu.

    Menurut China Railway Group, teknologi lokomotif negara itu semakin canggih apabila bakal dikendalikan oleh sistem navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou.

    SISTEM navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou dijangka siap tahun ini selepas roket pembawa Long March-3B menerbangkan dua satelit navigasi tersebut dari Pusat Pelancaran Satelit Liangshan pada 23 November lalu.

    SISTEM navigasi satelit global yang dibangunkan Beidou dijangka siap tahun ini selepas roket pembawa Long March-3B menerbangkan dua satelit navigasi tersebut dari Pusat Pelancaran Satelit Liangshan pada 23 November lalu.

    Projek navigasi baharu bernilai AS$9 bilion (RM36.81 bilion) tersebut dijangka siap pada tahun ini sekali gus bakal menyaingi dan dikatakan akan menggantikan Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

    Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jing-Zhang itu turut menterjemahkan misi pembangunan, peralatan dan operasi pintar seterusnya mencipta sejarah kereta api pintar pertama dunia. Itu kata jurutera kanan Perunding dan Reka Bentuk Kejuruteraan China Railway Group, Li Hongxia.

    “Kejayaan menyiapkan projek landasan itu menjadi sejarah dalam lembaran kronologi projek kereta api negara.

    “Jika mengikut pelan landasan, projek kereta api itu akan melalui wilayah Hebei. Perjalanan asal yang memakan masa lebih tiga jam mampu disingkatkan kepada kurang 50 minit,” ujarnya yang dipetik Technology Daily.

    Meski kereta api pintar diprogramkan tanpa pemandu, namun kehadiran pemandu ‘diwajibkan’ bagi memantau operasi automatik dan mengendalikan insiden kecemasan yang tidak diingini.

    Pun demikian apa yang menarik, segala kerosakan dan kerja penyelenggaraan diuruskan oleh robot. Bukan calang-calang ‘mekanik’ yang dibawakan, tetapi robot yang memilik kecerdasan buatan (AI).

    Hal itu itulah juga yang menjadi keluhan jurutera projek Kumpulan China Railway Seventh, Di Kemeng yang memaklumkan kebanyakan pekerja diganti dengan mesin untuk melakukan kerja pembaikan gerabak dan trek kereta api.

    CHINA melancarkan kereta api berkelajuan tinggi demi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

    CHINA melancarkan kereta api berkelajuan tinggi demi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

    Teruja

    Sebaik tiba di Stesen Kereta Api Beijing Utara, kereta api peluru pertama dunia sudah siap sedia menunggu penumpang tepat jam 8.30 pagi.

    Keterujaan untuk menaiki kereta api canggih turut dikongsikan Yang Yang, juara Olimpik Musim Sejuk China pertama yang memenangi dua pingat emas dalam acara luncur ais pada Olimpik Musim Sejuk 2002 di Salt Lake City, AS.

    Wanita berusia 44 tahun itu tidak menafikan kemudahan kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Zhangjiakou amat penting sebagai pengangkutan penghubung Sukan Olimpik dan Paralimpik 2022.

    “Kemudahan itu dapat meningkatkan kecekapan kerja selain mempromosikan sukan musim sejuk di China. Ia juga dapat mengembangkan lagi ekonomi setempat,” katanya yang kini menjadi Ketua Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

    Siapa sangka, China mempunyai sistem landasan kereta api terbesar di dunia iaitu 139,000km selain rangkaian rel berkelajuan tinggi sepanjang 35,000km sejak 2019 lagi.

    Ia telah membelanjakan lebih 2.8 trilion yuan (RM1.65 trilion) semata-mata untuk membangunkan landasan kereta api sejauh 23,000km antara tahun 2016 hingga 2020.

    Memetik laporan agensi berita Xinhua, Beijing berjaya menyiapkan projek kereta api tersebut yang melibatkan pelaburan terbesar antara tahun 2013 hingga 2017. Ia melibatkan jarak laluan hampir 30,000km. Lebih separuh daripada laluan itu adalah untuk kereta api laju dengan kos 3.9 trilion yuan (RM2.3 trilion).

    Memetik laporan hk.asiatatler.com pula, landasan kereta api laju yang turut menghubungkan wilayah Yanqing itu hanya akan dilalui enam kereta api peluru pintar berbanding 30 sedia ada.

    Jika melihat hentian yang ditetapkan di setiap stesen, apa yang menarik perhatian adalah perhentian keenam yang mana penumpang boleh turun ke Badaling Chang Cheng, laluan terkenal untuk ke Tembok Besar China.

    Bagaimana pula dengan tiket? Anggaran harga bermula AS$11 (RM44.98) untuk kereta api biasa manakala kereta api pintar, tiket dijual bermula dari harga AS$12 (RM49.07).

    LALUAN landasan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou.

    LALUAN landasan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou.

    Sumber

  • World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

    World #QuranHour di Masjid Albukhary meriah

    Peserta yang hadir ke program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah bergambar kenangan setelah tamat program terbabit.

    Peserta yang hadir ke program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah bergambar kenangan setelah tamat program terbabit.

    ALOR SETAR – Lokasi utama penganjuran World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini meriah dengan kehadiran kira- kira 400 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

    Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, World #QuranHour di negeri ini diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Katanya, program terbabit turut melibatkan kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan beberapa buah sekolah.

    “Ini adalah tahun pertama kita dapat berkumpul semula dalam majlis sebegini setelah dua tahun dianjurkan secara dalam talian akibat penularan pandemik Covid-19.

    “Alhamdulillah sambutan sangat meriah, mungkin ramai yang merindukan suasana bertadabbur bersama-sama dalam majlis seperti ini,”katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour 2022 di Masjid Albukhary, Jalan Langgar, di sini pada Selasa.

    Menurutnya, mereka turut menjemput pelajar AIU daripada pelbagai negara untuk mengetuai bacaan surah As-Sajdah dalam program terbabit.

    “Kita juga menjemput 20 pelajar asnaf daripada sekolah berdekatan untuk turut serta dalam program ini dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut dan Guru Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Datin Che Zamilah Ibrahim berkata, dia sangat bersyukur kerana berpeluang mengikuti program terbabit bersama 50 ahli persatuan yang lain.

    “Kami mendapat info mengenai program keagamaan ini melalui Rumah Ngaji Kedah, dan bila saya suarakan kepada rakan-rakan lain mereka pun berminat untuk turut serta,” katanya.

    Dalam pada itu, sambutan World #QuranHour 2022 di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah turut meriah dengan penglibatan seramai 500 peserta secara bersemuka dan juga dalam talian.

    Sumber

  • ‘Kebanyakan orang utamakan rezeki berbanding ibadah’

    ‘Kebanyakan orang utamakan rezeki berbanding ibadah’

    MESKIPUN ramai yang meyakini rezeki itu diberikan oleh ALLAH SWT, namun persoalan tentang perkara itu seringkali berlegar-legar dalam ruang fikiran kita.

    Demikian antara pengisian penting pada program Motivasi Infaq Legacy Circle (ILC) yang berpandukan Surah al-Baqarah ayat 260 dan 261 di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Ujar Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Fazrul Ismail, ayat 260 surah tersebut menjadi motivasi untuk kita memfokuskan iman. Kalam ALLAH tersebut mengisahkan tentang Nabi Ibrahim, burung dan keimanan.

    Bertadabbur ayat 260 dan 261 surah berkenaan, tambah beliau, hidup dan mati sebenarnya adalah isu besar. Hanya ALLAH SWT yang boleh menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup.

    “Nabi Ibrahim AS bertanya soalan beraras tinggi kepada ALLAH SWT tentang kehidupan dan kematian. Ia berkaitan dengan iman.

    “Lain pula halnya dengan kita pada hari ini yang seringkali bertanyakan perihal rezeki, tetapi jarang bertanya bagaimana kita mati. Begitu juga dengan rezeki tidak cukup sehingga menjadi kekangan untuk membantu orang lain. Ternyata bab rezeki ini adalah amat penting bagi hamba ALLAH,” katanya.

    ALLAH SWT berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-KU. AKU tidak mengkehendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan AKU tidak mengkehendaki agar mereka memberi makan kepada-KU. Sesungguhnya ALLAH SWT, DIALAH pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah al-Dzariyat, ayat 56 – 58)

    Berdasarkan ayat al-Quran itu, jelas Fazrul, sewajarnya kita mesti mengutamakan ibadah. ALLAH yang memberi dan menyusun rezeki kita. Namun, kebanyakan orang memegang falsafah terbalik apabila mengutamakan rezeki berbanding ibadah.

    “ALLAH SWT MAHA BERKUASA dan MAHA BIJAKSANA dalam menyusun kehidupan dan kematian hamba-NYA. Oleh sebab itu, kita perlu berusaha mentaati ALLAH SWT, kemudian perhatikan hasilnya. Ini kerana, urusan rezeki adalah milik ALLAH. Jika kita dapat memahami keutamaan hidup ini iaitu beribadah kepada ALLAH, maka banyak persoalan rezeki boleh ditangani dengan mudah dengan izin ALLAH SWT.

    “Formula meraih rezeki adalah infak ke jalan ALLAH. Begitupun, infak mencabar keimanan kita. Kebanyakan orang suka menerima daripada memberi. Jika mengikut kaedah berpandukan al-Quran, ALLAH akan memberi ganjaran sehingga 700 kali ganda,” katanya.

    Program ILC mengajak peserta untuk melihat hala tuju, perancangan dan peluang untuk berjaya dalam bisnes dan membina legasi di negara hingga peringkat global yang boleh dilakukan bersama.

    Untuk maklumat lanjut, lawati https://www.facebook.com/akademisinergi/.

    Sumber

  • UniKL tingkat kepakaran tenaga mahir rel tempatan

    UniKL tingkat kepakaran tenaga mahir rel tempatan

    TEKNOLOGI sofistikated China membuktikan kemampuan negara tembok besar itu menyaingi negara maju seperti Jepun dan Eropah.

    Dekan Kampus Cawangan Institut Reka Bentuk Malaysia-Itali (MIDI) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ir Dr Azman Senin tidak menafikan teknologi dan infrastruktur dimiliki China adalah antara yang terbaik di dunia.

    Menurutnya, teknologi kereta api berkelajuan tinggi yang diperkenal China baru-baru ini mungkin satu pencapaian baharu bagi menyaingi Jepun dan Eropah yang sememangnya terkenal dengan teknologi berkenaan.

    “Teknologi tersebut wajar dipelajari memandangkan negara masih kekurangan tenaga mahir dalam bidang penyelenggaraan material, baik pulih komponen dan sistem berkaitan teknologi kereta api.

    “Ini kerana ketika ini, untuk mana-mana projek kereta api dalam negara, kerja penyelenggaraan masih dilaksanakan oleh syarikat China,” ujarnya kepada e-Trend baru-baru ini.

    Mengulas lanjut mengenai kemampuan menghasilkan teknologi yang sama, penyelidik UniKL itu yakin kemampuan Malaysia untuk menambah baik teknologi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Butterworth kepada kelajuan 200 kilometer sejam.

    “Untuk mencapai tahap kereta api berkelajuan tinggi mungkin masih jauh memandangkan Malaysia adalah negara pengguna. Kita masih membawa masuk teknologi luar.

    “Negara belum memiliki teknologi pembuatan rel sendiri. Kita beli teknologi dari China. Ada segelintir alat ganti dibuat di dalam negara manakala selebihnya dibawa masuk dari luar,” katanya.

    Azman berpendapat, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai sebuah agensi pelaksana khusus dalam industri teknologi dan pembuatan kereta api.

    “Buat masa ini, belum ada mana-mana agensi pelaksana yang dilantik menerajui industri teknologi dan pembuatan kereta api kerana kebanyakan bidang kuasa lebih kepada penguatkuasaan dan operasi. Belum lagi ada agensi yang betul-betul melaksanakan industri ini,” bicaranya.

    Bagi menerajui pembangunan modal insan teknologi rel negara, UniKL telah menubuhkan Pusat Rel Asia sebagai pusat pembangunan akademik dan program bridging yang mengkhususkan kepada sistem rel.

    Atas permintaan Industri 4.0, Azman menjelaskan, UniKL turut memperkenal Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Sistem Kereta Api) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam Sistem Pembuatan.


    Sumber

  • Hayati erti sujud melalui World #QuranHour

    Hayati erti sujud melalui World #QuranHour

    Dr Hasbullah (depan, lima dari kanan) dan Dr Azmi (depan, enam dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Program Iktikaf Perdana dan World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan pada Selasa.

    Dr Hasbullah (depan, lima dari kanan) dan Dr Azmi (depan, enam dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Program Iktikaf Perdana dan World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan pada Selasa.

    KUANTAN – Surah Al-Sajdah yang diangkat sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour kali ini amat sesuai dalam membawa penghayatan umat Islam kepada erti sujud kepada ALLAH.

    Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad berkata, sujud itu sendiri berkait rapat dengan solat yang menjadi satu kewajipan bagi orang Islam.

    Menurutnya, penghayatan kepada nilai sujud itu mampu membuang ego dan kesombongan seseorang malah mereka akan sentiasa bersikap lebih merendah diri dalam kehidupan seharian.

    “Sesuai dengan tema utama surah Al-Sajdah ‘dunia bersujud’ World #QuranHour kali ini memberi makna tersendiri dalam mengajak umat Islam untuk sentiasa ‘bersujud’.

    “Biarpun sambutan agak sederhana, paling penting penyertaan dalam World #QuranHour tahun ini dapat diteruskan dengan mesej tersendiri,” katanya ketika ditemui selepas Program World”QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan di sini pada Selasa.

    Turut hadir, Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Azmi Md Nor.

    Dr Hasbullah berkata, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan tidak melepas peluang mengambil bahagian dalam program itu setiap tahun.

    “Bagaimanapun tahun ini kita menjadi antara hos Program Iktikaf Perdana Peringkat Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pahang jadi slot World #QuranHour menjadi sebahagian pengisiannya.

    “Allhamdulillah hari ini kita bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini melibatkan peserta Program Iktikaf Perdana, wakil pelajar UIAM, pelajar tahfiz dan wakil beberapa agensi kerajaan.

    “Bacaan surah Al-Sajdah disampaikan qari jemputan manakala pentadabur, Pegawai Syariah Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah, Abdul Rahman Al-Azmi,” katanya.

    Sumber

  • Peri penting pengetahuan urus harta pusaka

    Peri penting pengetahuan urus harta pusaka

    MESKIPUN mempunyai harta yang banyak ketika hidup, namun apalah gunanya jika ia tidak boleh digunakan dan diuruskan oleh waris apabila jasad kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini.

    Lebih parah lagi apabila anak-beranak dan kaum keluarga saling berbalah gara-gara harta tadi.

    Kadangkala proses pengagihan harta selepas kematian seseorang itu terpaksa memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan hingga ada waris yang meninggal dunia.

    Itulah antara natijah apabila kita tiada kesedaran atau enggan ambil pusing tentang perancangan harta dan pengurusan pusaka secara syariah. Justeru, sudah tiba masanya umat Islam celik dengan perkara tersebut dan tidak memandang remeh perihal pengurusan harta pusaka.

    Perkara itu turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe), Ariffin Sabirin. Bahkan, beliau menegaskan, hal itu akan memberikan kesan kepada ekonomi umat Islam dan negara sepertimana pendedahan kerajaan tentang rekod harta pusaka yang tertunggak bernilai RM70 bilion baru-baru ini.

    “Kebanyakan mereka adalah terdiri daripada orang Islam. Kesan jangka panjangnya, umat Islam akan rugi kerana apabila ibu bapanya meninggal dan harta mereka tidak diuruskan, anak-anak kena bermula daripada kosong untuk mengumpulkan hartanya. Apabila mereka meninggal dunia, anak-anak mereka juga akan melakukan perkara yang sama.

    “Sedangkan harta itu banyak. Harta pusaka sebenarnya adalah sumber modal yang sangat besar. Jika berjaya diselesaikan, ia boleh menyuntik ekonomi dengan begitu signifikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvensyen Wasiyyah Shoppe 2020 yang diadakan di sebuah hotel di Sepang, Selangor sebentar tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

    Pada majlis berkenaan, Wasiyyah Shoppe meraikan para perunding syarikat itu yang memberikan perkhidmatan cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

    Sebanyak 24 kategori pemenang diberikan anugerah pada hari ini termasuk Anugerah Khalifah iaitu penganugerahan terbesar bagi mereka yang mencapai tahap tertinngi dari segi pencapaian jualan dan kepimpinan.

    Sementara itu, Mohd Na’im berkata, peri pentingnya pengetahuan tentang perancangan harta dan pengurusan pusaka serta mendapat maklumat berkenaan dengan tepat.

    Tambah beliau, kebanyakan masyarakat Islam memahami bahawa pengurusan harta itu tidak penting kerana agama suci itu mempunyai kaedah faraid yang mana sudah ditentukan hak kepada waris masing-masing selepas seseorang itu meninggal dunia.

    “Sedangkan Islam itu adil yang mana agama ini ada banyak instrumen dalam pengurusan harta yang lain seperti hibah, wasiat dan sebagainya. Andai kata, kita gagal merancang dengan menggunakan instrumen-instrumen tadi semasa hayat, maka di situlah ALLAH menentukan harta tadi dibahagikan mengikut faraid.

    “Ini bermakna, (kaedah) faraid datang apabila kita gagal merancang. Perancangan itu sepatutnya dibuat ketika kita masih hidup. Ia ada dinyatakan dalam al-Quran dan hadis,” jelas beliau.

    Berdasarkan rekod, Wasiyyah Shoppe yang mula beroperasi pada tahun 2004 telah membantu lebih 60,000 orang Islam dalam merancang harta mereka dan kini mempunyai lebih 2,200 perunding di seluruh negara.

    Sumber

  • Provokasi, amarah faktor buli – Sinar Harian

    Provokasi, amarah faktor buli – Sinar Harian

    SEORANG pemandu lelaki maut selepas dibelasah akibat perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang, Selangor.

    Mangsa sebelum itu dikatakan memukul kereta suspek menggunakan kayu besbol. Tindakan mangsa berusia 29 tahun itu itu selepas tidak berpuas hati dengan suspek berusia 40 tahun.

    Sebelum itu lagi mereka sudah bergaduh berpunca daripada kemalangan kecil, ditenteramkan orang ramai sebelum kedua-duanya masuk ke kereta masing-masing.

    Namun, si mati yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kayu besbol dari keretanya dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

    Suspek yang ada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa hingga terlanggar suspek. Akibatnya, mangsa tersepit antara kereta suspek dan pengadang jalan dan dilaporkan telah meninggal dunia.

    

KAJIAN membuktikan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya berbanding wanita.

    KAJIAN membuktikan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya berbanding wanita.

    Itu antara kejadian tragis dilaporkan media tempatan tahun lalu. Pada pandangan penulis, sikap gagal mengawal perasaan marah antara penyebab kejadian berlaku.

    Barangkali ada sebab lain. Bagaimanapun, setakat pencarian penulis, belum ada kajian secara terperinci punca masalah pembulian di atas jalan raya itu kerap dilaporkan berlaku dalam negara kita.

    Apa pun kadar kes membabitkan pembuli jalan raya sememangnya merisaukan biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan dan kaedah digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasinya.

    Mekanisme digunakan tidak betul atau di manakah silapnya? Bagi menyingkap jawapannya, Turbo mendapatkan ulasan Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat atau Dr Geshina Ayu.

    Impak serius

    Walaupun ada melihatnya sebagai isu terpencil, namun masalah buli yang berlaku di atas jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana impaknya serius.

    Masalah bukan sahaja memberikan kesan kepada diri pelaku yang terlibat, tetapi juga orang sekeliling yang tidak bersalah, kata Dr Geshina Ayu.

     Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat

    Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat

    “Kita tidak boleh pandang remeh. Lihatlah peningkatan jumlah video dari kamera peribadi atau telefon bimbit yang menjadi tular dalam media sosial mengenai insiden pembuli jalan raya.

    “Apa yang mendasari tingkah laku pembuli jalan raya merupakan perwatakan dan rasa berhak (sense of entitlement). Insiden membuli sebenarnya boleh dilihat sebagai hasil kegagalan mengatasi kemarahan,” ujar beliau yang menyifatkan insiden buli di jalan raya bukan perkara baharu khususnya di Malaysia.

    Kongsi Dr Geshina Ayu, terdapat banyak insiden yang mana kesalahan sering dilakukan oleh pembuli sendiri. Hal itu disusuli oleh pengguna jalan yang lain yang dianggap sebagai melakukan provokasi terhadap pembuli.

    Apa yang pasti, tragedi boleh berlaku apabila seseorang itu gagal mengatasi perasaan marah. Menurut beliau, terdapat tiga ‘laluan’ yang berpotensi berlaku apabila hilang kawalan atas perasaan marah:

    a) Laluan pertama:

    Individu itu sudah mempunyai kemarahan yang kuat dan sifat yang agresif. Hanya sedikit hal diperlukan untuk mencetuskan kemarahan di atas jalan.

    Selagi individu tersebut berpendapat bahawa dia telah diprovokasi, reaksi segera adalah kemarahan, keinginan dan pembalasan.

    Sasarannya selepas itu untuk menyebabkan kemudaratan atau kemusnahan sama ada kepada individu yang dirasakan harus dipersalahkan, kepada objek atau harta awam yang dianggap menyumbang kepada rasa marah dan penguat kuasa undang-undang jalan raya.

    Individu itu sering sudah ada sesuatu objek dalam kenderaan yang dibawa bersama yang boleh diperlakukan sebagai senjata untuk mengugut atau menyerang.

    b) Laluan kedua:

    Mempunyai reaksi emosi negatif terhadap rangsangan luar yang dilihat sebagai mengancam atau melanggar hak, ruang peribadi, atau pergerakan menghalang jalan.

    Sebagai contoh keadaan jalan yang sesak dijadikan alasan untuk menggunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu merah.

    Jika ditahan pihak berkuasa, individu tersebut akan menyalahi orang atau pihak lain atas kesalahan sendiri. Pemandu yang melulu sebegini boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan lain atau kemalangan yang serius.

    c) Laluan ketiga:

    Individu itu sudah berada dalam keadaan emosi negatif kerana keadaan terdahulu yang berlaku. Kejadian yang berlaku di atas jalan raya menjadi insiden terakhir yang tidak dapat diterima. Itu mencetus kemarahannya.

    Sebagai contoh, konflik di tempat kerja yang tidak dapat diselesaikan. Emosi yang tinggi masih ada ketika berlaku insiden pelanggaran kenderaan yang kecil (minor accident) atau kejadian jalan raya yang sedang dihadapi. Insiden di atas jalan itu diperbesarkan dan boleh menjadi pencetus kepada kelakuan buli.

    Kajian Hoskin Ellis (2015) dan Wu, Wang, Peng, Chen (2018) menunjukkan lelaki lebih cenderung untuk memandu secara melulu dan menjadi pembuli jalan raya, berbanding wanita.

    Selain itu, umur dan jantina didapati mempengaruhi tahap agresif seseorang yang seterusnya boleh meningkatkan risiko terlibat dalam kecelakaan jalan raya.

    Golongan muda lebih kerap terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan cara pemanduan berbahaya. Mereka antaranya dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

    Sasaran berlainan jantina

    Baru-baru ini juga tular di laman sosial Facebook sebuah video berdurasi empat minit 28 saat memaparkan pemandu kereta mewah bertindak menghalang kereta seorang wanita di tengah jalan raya. Mangsa dimarahi dan dimaki.

    Turut kedengaran dalam video itu wanita berkenaan yang dipercayai sedang mengandung turut menangis kerana ketakutan.

    Lelaki itu kemudiannya mengambil gambar mangsa sebelum menunjukkan isyarat lucah dan beredar.

    Menurut Dr Geshina Ayu, jelas itu insiden membuli!

    Lazimnya pembuli berlainan jantina akan menggunakan isyarat atau bahasa berbentuk seksual untuk menyerang mangsa terutamanya bagi menimbulkan rasa takut, malu, gelisah dan resah.

    KEBANYAKAN pembuli jalan raya mempunyai masalah kawalan kemarahan.

    KEBANYAKAN pembuli jalan raya mempunyai masalah kawalan kemarahan.

    “Perkara tersebut dilakukan sebagai kaedah mendominasi keadaan dan merendahkan nilai mangsa sebagai manusia. Tingkah laku tersebut dilakukan untuk merasa sebagai lelaki, seorang yang kuat, atau seorang yang perlu ditakuti.

    “Jika mangsa sama jantina pula, taktik sedemikian tidak akan digunakan. Pembuli khuatir ada kemungkinan dia akan menjadi mangsa keganasan fizikal jika mangsa berani menentangnya,” katanya.

    Pembuli mengambil gambar mangsa? Biasa berlaku bukan?

    Jelas Dr Geshina Ayu, boleh jadi ia atas pelbagai sebab yang subjektif kepada pembuli. Barangkali sebagai kaedah menimbulkan rasa takut, ‘alat’ ugutan keganasan masa akan datang atau boleh jadi menjadi ‘trofi atau piala’ kejayaan membuli.

    Boleh jadi juga foto diambil sebagai cara menyindir dan menjatuhkan air muka mangsa untuk laporan polis dan lain-lain sebab, katanya.

    Langkah awal

    Antara langkah awal yang perlu bagi membendung budaya buli di jalanan itu ialah memastikan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas lebih kerap.

    Penetapan saman yang tidak boleh dirundingkan jumlahnya dan amaunnya ditingkatkan boleh dilakukan bagi kes berulang.

    Selain itu, tambah Dr Geshina Ayu, menjadikan syarat sambung lesen setiap tiga atau lima tahun memerlukan lulus semula ujian lesen memandu adalah langkah awal bijak yang perlu dilaksanakan.

    “Pemandu berhemah bermula dari sikap diri sendiri dan cara gaya ajaran semasa zaman kanak-kanak. Mereka melihat tingkah laku ibu bapa atau penjaga membawa kenderaan.

    “Pemerhatian sosial mengenai tingkah laku yang menjadi kelaziman masyarakat setempat juga boleh mempengaruhi sikap,” katanya.

    NAFSU pembuli itu dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

    NAFSU pembuli itu dipengaruhi sikap panas baran, pengaruh rakan dan masalah sosial.

    Ya, melanggar lampu merah, memandu lawan arah, melebihi had laju dibenarkan dan sebagainya, antara kesalahan biasa.

    Jika individu melihat tingkah laku pemandu lain yang melanggar undang-undang tanpa dihukum atau di ambil kisah oleh pemandu-pemandu lain, ia akan menyumbang kepada pembentukan perspektif dan atitud yang pro-negatif.

    Sementara itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan sesi kaunseling dan khidmat masyarakat diwajibkan bagi individu yang ditahan kerana kesalahan memandu secara berbahaya dan membuli di jalan raya.

    Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan berkenaan wajar dipertimbangkan memandangkan ia telah dilaksanakan oleh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat.

    Tan Sri Lee Lam Thye

    Tan Sri Lee Lam Thye

    “Selain menimbulkan keinsafan, program sebegini membolehkan mereka bertemu dengan pesalah jalan raya yang lain. Secara tidak langsung akan memberikan kesedaran lebih mendalam,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kegiatan buli di jalan raya yang semakin membimbangkan.

    Tambah Lee, semua rakyat Malaysia termasuk pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.

    “Kewujudan pembuli jalan raya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Sedangkan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu terkenal dengan sikap sopan santun dan berbudi bahasa.

    “Saya percaya sikap tidak sabar atau panas baran terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang kurang menyenangkan di jalan raya adalah petunjuk bahawa sifat-sifat positif sudah mulai terhakis,” katanya.

    Beliau turut menasihat pemilik kenderaan memasang kamera ‘dashcam’ yang boleh diaktifkan secara automatik setiap kali memandu. Buat penunggang motosikal, mereka boleh memakai kamera khas pada topi keledar sebagai alat perakam.

    “Rakaman video itu boleh menjadi bahan bukti sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan atau kes buli jalan raya,” jelasnya.

    Sumber

  • Hampir 600 jayakan World #QuranHour di Masjid Al-Alami

    Hampir 600 jayakan World #QuranHour di Masjid Al-Alami

    Mohd Ali dan isteri turut mengalunkan bacaan al-Quran sempena World #QuranHour peringkat negeri di Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

    Mohd Ali dan isteri turut mengalunkan bacaan al-Quran sempena World #QuranHour peringkat negeri di Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

    MELAKA – Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, di sini, menjadi saksi bergemanya alunan surah Al-Sajdah bersempena World #QuranHour yang berlangsung pada Selasa.

    Penyelaras program, Murad Amat berkata, Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersama isteri hadir bagi memeriahkan program yang dimulakan dengan sesi tadarus al-Quran diikuti khatam al-Quran dan World #QuranHour.

    Menurutnya, program diadakan setiap tahun pada 24 Ramadan itu disertai hampir 600 peserta termasuk sahabat-sahabat Rumah Ngaji, kakitangan kerajaan dan orang awam.

    Katanya, program lebih meriah apabila pemimpin negeri turut serta dalam program berkenaan.

    Sebahagian peserta terdiri pelbagai latar belakang menjayakan program itu.

    Sebahagian peserta terdiri pelbagai latar belakang menjayakan program itu.

    “Setelah dua tahun kita tidak dapat laksanakan #QuranHour secara bersemuka kerana pandemik Covid-19, tahun ini Yang di-Pertua bersetuju hadir.

    “Alhamdulillah ini satu permulaan yang begitu mengembirakan buat kami kerana sebelum ini kita tidak pernah ada tetamu kehormat seperti Yang di-Pertua Negeri bersama dalam program yang serentak diadakan di seluruh negeri,” katanya.

    Tambahnya, seramai 500 bertadarus dengan dibimbingi Imam Besar Masjid Al- Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.

    “Menerusi penganjuran ini umat Islam dapat menyuburkan tabiat membaca dan mengamalkan ajatan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya

    Sumber