Bagi pelancong Malaysia yang mendambakan percutian serba lengkap dengan pemandangan memukau, khazanah purba serta keunikan gastronomi, Cappadocia di Türkiye kekal sebagai destinasi impian yang tiada tandingannya. Wilayah yang terkenal dengan jolokan Bumi Kisah Dongeng ini menyaksikan lonjakan ketara pelancong dari Malaysia, mencatatkan peningkatan kira-kira 17 peratus daripada 15,234 pengunjung pada tahun 2024 kepada 17,839 orang pada tahun 2025. Trend positif ini berterusan ke tahun 2026 dengan lebih 8,500 rakyat Malaysia telah berkunjung ke sana dalam tempoh enam bulan pertama sahaja, membuktikan daya tarikan landskap luar biasa dan budayanya yang kaya kian menawan sanubari ramai. Daya tarikan utama yang paling sinonim dengan wilayah ini semestinya pengembaraan menaiki belon udara panas sewaktu fajar menyingsing. Melayang perlahan melintasi deretan formasi batu-batuan ‘cerobong pari-pari’ dan lembah yang dramatik menyajikan panorama yang cukup mengasyikkan dari udara, menjadikannya detik ikonik yang paling dinantikan oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke Türkiye. Di darat pula, hasil gabungan jutaan tahun aktiviti gunung berapi dan hakisan semula jadi membolehkan pengembara meneroka lembah indah seperti Paşabağ, Devrent Valley, Love Valley dan Red Valley sama ada dengan berjalan santai, mendaki, mahupun menunggang kuda. Pengalaman percutian di sini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran hotel gua mewah yang memanfaatkan formasi batu-batuan bersejarah. Hotel-hotel butik ini memadukan warisan silam bersama keselesaan moden, memberikan peluang kepada tetamu untuk bersantai di teres bumbung sambil menyaksikan belon udara panas melintasi ruang angkasa pagi, menikmati rawatan spa, atau sekadar menghirup kopi Turki yang pekat sewaktu matahari terbenam. Di samping keindahan alamnya, Cappadocia turut menyimpan rahsia peradaban tamadun purba yang sangat bernilai. Muzium Terbuka Göreme yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mempamerkan keunikan gereja berukiran batu dan lukisan dinding bersejarah, manakala kota bawah tanah seperti Derinkuyu dan Kaymaklı pula memukau pengunjung dengan jaringan terowong dan ruang kediaman bertingkat yang dibina jauh di bawah permukaan bumi. Kunjungan ke Cappadocia disempurnakan lagi dengan penerokaan sajian tempatan yang memikat selera. Hidangan tradisional ikonik seperti testi kebab yang dimasak perlahan di dalam periuk tanah liat, bersama sajian Nevşehir mantısı serta kayısı yahnisi, menawarkan cita rasa Anatolia yang begitu autentik. Tradisi masakan yang kaya ini disokong pula oleh reputasi kulinari serantau yang kian diiktiraf di pentas antarabangsa, terbukti apabila 18 buah restoran di Cappadocia berjaya tersenarai dalam Panduan MICHELIN pada tahun 2025. Gabungan landskap magis, penginapan memikat dan keenakan gastronomi ini menjadikan Cappadocia sebuah perjalanan penuh memori indah yang sentiasa terpahat di ingatan. Post navigation NKF and Vantive Introduce Second Chance to Raise Awareness of Home Dialysis Mempercepatkan Penerimagunaan Teknologi Kesihatan Termaju dan Merapatkan Jurang Ekuiti Akses Perubatan Rentas Sempadan