Selepas menanti sekian lama untuk album keduanya, penyanyi bersuara serak yang penuh magis, Cakra Khan akhirnya muncul dengan buah tangan berjudul Divine pada tahun 2024. Bagi meraikan kelahiran album yang membawa erti luar biasa itu, beliau kini menghadiahkan para peminat dengan Divine Concert – Cakra Khan, sebuah konsert berskala solo yang akan berlangsung di dua lokasi istimewa: Singapura dan Malaysia. Konsert ini dianjurkan oleh Shiraz Projects, yang terkenal dengan penganjuran acara berprestij di rantau ini.
Bermula dengan Singapura, konsert tersebut akan berlangsung di The Star Theatre pada 18 Julai 2025, manakala peminat di Malaysia pula boleh menyaksikan persembahan penyanyi berusia 33 tahun ini di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025. Menurut Shirazdeen Karim selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya satu pengalaman penuh emosi dan kenangan buat peminat yang telah mengikuti perjalanan seni Cakra selama lebih sedekad. Tema Divine dipilih bukan sahaja kerana tajuk album, tetapi turut menggambarkan konsep persembahan yang ‘hebat’, ‘luar biasa’, dan ‘penuh jiwa’.
Peminat akan dibawa dalam sebuah perjalanan muzik yang bukan sekadar memperkenalkan lagu-lagu baru dari album Divine, tetapi turut menyentuh kembali karya-karya malar segar yang telah melonjakkan nama Cakra Khan sejak awal kemunculannya. Lagu-lagu popular seperti Kekasih Bayangan, Mencari Cinta Sejati, dan Salah Tapi Baik akan berkumandang secara langsung dalam sebuah persembahan yang dijanjikan menyentuh hati.
Menurut Shirazdeen, penganjuran di dua negara ini dilakukan sebagai respon terhadap permintaan tinggi daripada peminat yang mahu menyaksikan sendiri kehebatan vokal Cakra secara solo. “Kami tahu betapa bermaknanya konsert ini buat peminat. Sebab itu kami ingin pastikan mereka dapat pilihan sama ada di Singapura, Malaysia, atau kedua-duanya,” katanya. Penonton dijemput memilih lokasi yang paling sesuai dan dialu-alukan hadir di kedua-dua acara.
Cakra Khan sendiri menyatakan keterujaannya untuk bertemu peminat yang setia menyokong karier seninya. Beliau menyampaikan pesanan ringkas penuh makna, “Apa yang pasti, kalian akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan seperti mana saya selalu menikmati apresiasi anda semua terhadap saya.” Ucapan tersebut menjadi penanda betapa pentingnya kehadiran peminat dalam menjayakan konsert ini.
Tiket bagi konsert di Singapura boleh dibeli di laman sesawang www.sistic.com.sg, manakala bagi konsert di Kuala Lumpur, peminat boleh mendapatkan tiket menerusi www.myticket.asia. Tiket akan mula dijual pada 12 Februari 2025 bermula pukul 10 pagi. Harga tiket di Malaysia bermula daripada RM225 hingga RM1,295, manakala untuk Singapura antara SGD128 hingga SGD248, bergantung kepada kategori dan akses istimewa seperti sesi Meet & Greet.
Para peminat muzik Nusantara tidak wajar melepaskan peluang menyaksikan persembahan hebat ini. Divine Concert – Cakra Khan bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan suara, emosi, dan dedikasi seorang penyanyi yang sentiasa memberi sepenuh jiwa dalam setiap lagunya.