Tiga puluh tahun selepas kemunculan album sulung mereka, Butterfingers bakal membawa peminat mengimbau kembali era yang mencorakkan muzik alternatif tempatan menerusi sambutan ulang tahun ke-30 album 1.2 Milligrams. Bersempena detik bersejarah itu, kumpulan legenda tersebut akan mengadakan dua showcase eksklusif di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos 2026, sekali gus meraikan sebuah album yang terus kekal relevan merentasi generasi. Dilancarkan pada tahun 1996, 1.2 Milligrams muncul ketika muzik grunge, punk dan rock alternatif sedang berada di kemuncak populariti. Walaupun dipengaruhi gelombang muzik antarabangsa ketika itu, Butterfingers memilih untuk membentuk identiti tersendiri dengan menggabungkan tenaga gitar yang lantang bersama melodi yang kuat. Hasilnya, album tersebut bukan sahaja menjadi karya sulung mereka, malah menjadi antara album yang meninggalkan impak besar dalam perkembangan muzik alternatif Malaysia. Bagi meraikan ulang tahun ke-30 album itu, Butterfingers akan mempersembahkan keseluruhan lagu daripada 1.2 Milligrams dalam dua persembahan khas. Showcase pertama akan berlangsung pada malam Sabtu, 8 Ogos 2026, manakala persembahan kedua yang lebih santai dan intim akan diadakan pada petang Ahad, 9 Ogos 2026. Lebih istimewa, peminat turut berpeluang mendengar beberapa rakaman demo yang belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini. Penganjuran dua showcase bukan sekadar menambah peluang kepada peminat mendapatkan tiket, tetapi juga mencerminkan hasrat Butterfingers untuk menghimpunkan semua lapisan pendengar. Mereka mahu meraikan penyokong yang telah mengikuti perjalanan kumpulan itu sejak era awal, selain mengalu-alukan generasi baharu yang baru mengenali muzik Butterfingers melalui platform digital. Dalam suasana yang lebih dekat, setiap lagu diharapkan dapat dinikmati seperti ketika ia mula dilahirkan hampir tiga dekad lalu. Menurut Butterfingers, idea menghasilkan persembahan berskala kecil ini lahir selepas mereka menjayakan beberapa produksi besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio. Kali ini, mereka memilih untuk kembali kepada pengalaman gig yang lebih sederhana, di mana hubungan antara pemuzik dan penonton dapat dirasai dengan lebih dekat. Bagi mereka, suasana seperti inilah yang menjadi asas kepada perjalanan Butterfingers ketika mula mencipta nama pada pertengahan tahun 1990-an. Pemilihan Odeon KL juga bukan dibuat secara kebetulan. Kawasan tersebut mempunyai nilai sentimental kerana berada berhampiran Kompleks Pertama, lokasi yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan peminat muzik mendapatkan kaset, album dan mengenali kumpulan-kumpulan alternatif sebelum era penstriman digital. Butterfingers melihat Odeon sebagai ruang yang menghubungkan kenangan silam dengan perjalanan muzik mereka, sekali gus menjadikan showcase ini lebih bermakna daripada sekadar sebuah persembahan pentas. Emmett berkata sambutan ulang tahun ke-30 ini merupakan peluang untuk menghidupkan semula semangat muzik era 90-an tanpa bergantung kepada nostalgia semata-mata. Baginya, apa yang ingin diraikan ialah kejujuran dalam muzik, tenaga persembahan secara langsung dan pengalaman berkongsi lagu bersama para peminat. Beliau turut mengesahkan bahawa beberapa lagu demo yang jarang didengari akan dipersembahkan sebagai penghargaan kepada mereka yang setia mengikuti perjalanan Butterfingers sejak dahulu. Bagi Loque pula, 1.2 Milligrams bukan sekadar album pertama, tetapi sebuah karya yang lahir daripada semangat, keberanian dan kejujuran sekumpulan anak muda yang mahu menghasilkan muzik mengikut cara mereka sendiri. Walaupun ramai mengingati album itu kerana bunyi gitar yang kasar dan elemen grunge, beliau percaya kekuatan sebenar karya tersebut terletak pada melodi dan emosi yang terkandung dalam setiap lagu. Selepas tiga dekad, Butterfingers berharap showcase ini akan menjadi ruang untuk peminat lama dan baharu berkongsi pengalaman yang sama serta membuktikan bahawa muzik yang lahir dengan ikhlas akan terus hidup merentasi zaman. Post navigation Selepas Fenomena Konsert, KRU Buka Fasa Baharu Dengan KRU Café Di Shah Alam