Bukan Calang-Calang! Nabila Huda Buktikan Taring, Genggam Trofi Pertama Anugerah Seni

Malam kemuncak Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) baru-baru ini melabuhkan tirai dengan penuh gaya dan kejutan. Kategori utama, Persembahan Terbaik 2025, menyaksikan persaingan sengit yang berakhir dengan kemenangan bersama oleh dua naskhah hebat: Fragments of Tuah terbitan Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company.

Kedua-dua karya ini berjaya mengetepikan finalis lain seperti Animal Farm dan Visits dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif BOH Plantation, Caroline Russell, dan Presiden Kakiseni, Low Ngai Yu.

Momen yang paling mencuri perhatian pastinya kejayaan peribadi bintang popular, Nabila Huda. Beliau melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul trofi sulungnya dalam arena teater melalui kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Malam dalam pementasan Masmoona.

Nabila yang kelihatan sebak mengakui tidak menyangka kemenangan tersebut memandangkan beliau masih menganggap dirinya sebagai “orang baru” yang sangat mengagumi bakat besar rakan-rakan seperjuangan dalam dunia teater.

Selain itu, pengiktirafan turut diberikan kepada Ileana Matin sebagai Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dan Kingsley Judd bagi kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater). Kemuncak acara turut memberikan penghormatan tertinggi kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor menerusi Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian atas jasa beliau memartabatkan seni Zapin. Bertemakan ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’, edisi kali ini terus memperkukuh usaha kolektif dalam membentuk ekosistem seni kreatif Malaysia yang lebih inovatif dan berintegriti.