Buakaw Banchamek Terajui T-Fight All Star 2026 di Kuala Lumpur

Arena sukan tempur tanah air bakal kembali mencuri tumpuan dengan penganjuran T-Fight All Star 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 24 April 2026. Acara berprestij ini akan menghimpunkan atlet tempur berbakat dari pelbagai kelab dan latar belakang untuk mempamerkan kemahiran, disiplin serta semangat kesukanan dalam suasana yang kompetitif dan profesional.

Kejohanan ini dijangka menarik minat peminat Muay Thai dari dalam dan luar negara, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ikon Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek, yang akan beraksi dalam perlawanan utama bagi kategori 71 kilogram. Penampilan ini menjadi lebih istimewa kerana ia merupakan kali pertama beliau bertanding di Malaysia, sekali gus mencipta sejarah tersendiri kepada peminat sukan tempur tempatan.

Secara keseluruhan, T-Fight All Star 2026 akan menampilkan tujuh perlawanan melibatkan atlet dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kejohanan Muay Thai bertaraf antarabangsa.

Dalam perlawanan utama, Buakaw dijadualkan menentang petarung dari Beijing, Meng Gaofeng, dalam pertembungan antara Thailand dan China yang dijangka berlangsung sengit serta berintensiti tinggi. Atlet berusia 28 tahun itu mempunyai rekod profesional sebanyak 45 perlawanan dengan 33 kemenangan, termasuk sembilan kemenangan secara knockout, selain pernah menjuarai Wu Lin Feng China 2020 serta memegang gelaran WLF World Champion dan IPCC China Champion.

Pertembungan dua kuasa besar sukan tempur Asia ini dijangka menjadi tarikan utama kejohanan, di samping memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan aksi legenda dunia secara langsung buat pertama kali di Malaysia. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada urusetia media.