BLACKMORES Malaysia, dengan kerjasama Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen, menganjurkan inisiatif bantuan komuniti untuk menyokong 200 keluarga yang menetap di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 individu. Program ini melibatkan pengagihan bekalan makanan asas, produk kebersihan dan suplemen pemakanan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian, sekali gus memperkukuh komitmen berterusan BLACKMORES dalam membina komuniti lebih sihat dan menyokong kesejahteraan harian.

BLACKMORES Malaysia menaja pek makanan seimbang yang berkhasiat serta suplemen pemakanan termasuk Omega Complex 120s dan Daily Protect Chewable 60s, manakala Guardian Malaysia menyumbangkan barangan keperluan harian seperti berus gigi dan gel mandian. Sukarelawan BLACKMORES Malaysia dan Guardian Malaysia, bersama-sama Kechara Soup Kitchen, telah membungkus dan mengedarkan pek bantuan yang mengandungi makanan ruji, produk kebersihan serta suplemen pemakanan BLACKMORES yang terpilih untuk menyokong keperluan kesihatan dan pemakanan keluarga terlibat sepanjang bulan Ramadan.
Selain menyampaikan bantuan kepada keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, BLACKMORES Malaysia turut menyumbangkan 1,000 unit Daily Protect Chewable 60s kepada komuniti PPR lain di sekitar Lembah Klang melalui Kechara Soup Kitchen. Langkah ini bertujuan meluaskan sokongan pemakanan dan manfaat kesihatan kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan. Secara keseluruhan, kira-kira 2,000 individu dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Program bantuan ini mencerminkan usaha berterusan BLACKMORES dalam menyumbang kepada komuniti di setiap lokasi operasinya di rantau Asia Pasifik. Di Malaysia, komitmen ini dizahirkan melalui inisiatif seperti Project Kindness, sebuah program akar umbi yang memberi tumpuan kepada usaha membantu komuniti kurang bernasib baik melalui aktiviti berasaskan kesihatan, kesejahteraan dan pemakanan. Melalui inisiatif yang dipacu oleh sukarelawan dan kerjasama dengan organisasi amal, BLACKMORES sentiasa menyokong usaha bermakna bagi membantu mengukuhkan kesejahteraan komuniti setempat.

“Sempena Ramadan yang mulia ini, BLACKMORES Malaysia, dengan kerjasama Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen, telah menyantuni 200 keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas. Melalui pengagihan makanan dan suplemen pemakanan BLACKMORES, kami berharap inisiatif ini dapat membantu menyokong dan meningkatkan tahap kesihatan serta kesejahteraan komuniti berkenaan sepanjang bulan Ramadan ini,” kata Ketua Pemasaran BLACKMORES Malaysia, Chloe Meng.
“Sebagai rakan kesejahteraan anda sejak 58 tahun yang lalu, Guardian sentiasa berusaha memberikan makna baharu kepada tradisi Raya. Selain duit raya dan juadah perayaan, kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberikan hadiah yang membantu melindungi insan tersayang, selari dengan tema ‘Seikhlas Pemberian, Seindah Lebaran’. Kami berasa amat berbesar hati kerana dapat menyokong inisiatif ini dan berharap sumbangan ini dapat membawa kegembiraan serta kelegaan kepada keluarga di sini, terutamanya pada bulan Ramadan yang amat bermakna ini,” ujar Pengurus Kategori Kanan Guardian Malaysia, Michelle Chong.

BLACKMORES Malaysia sentiasa komited dalam menyokong inisiatif yang menggalakkan kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan komuniti, dan akan terus bekerjasama dengan rakan serta organisasi tempatan bagi membawa perubahan positif kepada komuniti di seluruh negara.