Dunia muzik rock tanah air dikejutkan dengan pengumuman rasmi daripada dua anggota legenda kumpulan WINGS, iaitu Azmi bin Hashim atau lebih dikenali sebagai Black Wings dan Samsaidi bin Ulong Idris atau Eddie Wings, yang telah mengumumkan pengunduran diri mereka daripada kumpulan ikonik tersebut berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, kedua-dua figura berpengaruh dalam dunia muzik rock tanah air itu menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan penuh pertimbangan dan keikhlasan selepas sekian lama bersama kumpulan WINGS yang telah menjadi sebahagian besar daripada perjalanan hidup serta karier seni mereka.
“Kami, Azmi bin Hashim atau dikenali juga sebagai ‘Black Wings’ dan Samsaidi bin Ulong Idris atau dikenali juga sebagai ‘Eddie Wings’, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan WINGS berkuat kuasa serta-merta iaitu pada hari ini, Rabu bertarikh 8.10.2025,” ujar mereka dalam kenyataan rasmi.
Mereka turut memaklumkan bahawa selepas pengunduran ini, mereka tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti mahupun persembahan bersama kumpulan WINGS, termasuk Konsert WINGS 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura.

“Dengan ini kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan terlibat dalam ‘Konsert WINGS 40 Tahun Celebration’ yang dijadualkan berlangsung pada 28hb November 2025 di Kuala Lumpur dan 24hb Disember 2025 di Singapura nanti,” tambah kenyataan itu lagi.
Pengumuman ini pastinya meninggalkan kesan mendalam buat para peminat tegar WINGS yang telah mengikuti perjalanan kumpulan tersebut sejak era 1980-an. Black dan Eddie merupakan antara tunjang utama yang telah membentuk identiti dan kekuatan muzik WINGS, dikenali dengan permainan gitar bertenaga, vokal mantap, serta semangat persahabatan yang mewarnai perjalanan muzik kumpulan itu selama lebih empat dekad.
Setakat ini, punca sebenar di sebalik keputusan pengunduran mereka masih belum dijelaskan sepenuhnya, namun ramai peminat dan pemerhati industri percaya ia mungkin berpunca daripada perbezaan hala tuju atau keinginan untuk meneroka cabaran baharu dalam bidang seni masing-masing.
WINGS, yang sinonim dengan lagu-lagu malar segar seperti Sejati, Biarkan Berlalu dan Taman Rashidah Utama, telah menjadi lambang keunggulan muzik rock Malaysia sejak lebih 40 tahun lalu. Pengunduran dua anggota penting ini sekaligus menandakan berakhirnya satu bab penting dalam sejarah kumpulan yang cukup disegani di rantau ini.
Meskipun begitu, peminat pastinya akan terus menghargai jasa dan sumbangan besar Black dan Eddie dalam menjulang nama WINGS sebagai salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air.