24 April 2026, Kuala Lumpur – Kumpulan tribute ABBA yang terkenal di peringkat antarabangsa, Björn Again, bakal membuat kemunculan sulung mereka di Kuala Lumpur menerusi jelajah “The ABBA Forever Tour 2026”, yang dibawakan khas terus dari Melbourne, Australia.

Konsert berdurasi dua jam ini menjanjikan pengalaman penuh nostalgia dengan meraikan legasi muzik ABBA yang terus malar segar merentasi generasi. Persembahan itu bakal dipenuhi dengan elemen hiburan, kemeriahan pentas serta lagu-lagu ikonik yang masih diminati peminat sehingga hari ini.

Sepanjang persembahan, penonton akan dihiburkan dengan rangkaian lagu popular seperti “Mamma Mia”, “Dancing Queen”, “Waterloo”, “SOS” dan “Gimme! Gimme! Gimme!”, selain balada malar segar seperti “The Winner Takes It All”, “I Have a Dream”, “Chiquitita” dan “Fernando”.

Diiktiraf sebagai antara kumpulan tribute paling berjaya dan berkualiti di dunia, Björn Again terkenal dengan keupayaan mereka menghidupkan semula persembahan ABBA menerusi vokal yang hampir menyamai penyanyi asal, tenaga persembahan yang luar biasa, kostum ikonik serta elemen komedi dan teater yang menghiburkan.

Sejak ditubuhkan di Melbourne, Björn Again telah mengadakan persembahan di lebih 120 negara dan menjadi satu-satunya kumpulan tribute ABBA yang menerima pengiktirafan rasmi daripada ahli-ahli asal ABBA.

Populariti mereka turut menarik perhatian ramai selebriti antarabangsa termasuk Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J. K. Rowling, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai fenomena hiburan bertaraf global.

Sepanjang kerjaya mereka, Björn Again telah beraksi di pelbagai lokasi dan acara berprestij seperti Stadium Wembley, Royal Albert Hall, Sydney Opera House, Myer Music Bowl Melbourne serta festival muzik terkenal dunia termasuk Glastonbury Festival, Roskilde Festival, Reading Festival dan Big Red Bash.

Reputasi Björn Again sebagai kumpulan tribute bertaraf dunia turut mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak. Time Out pernah menyifatkan mereka sebagai “antara persembahan secara langsung yang paling menghiburkan di dunia hari ini”, manakala anggota ABBA, Benny Andersson, pernah berkata, “Peminat lebih baik menikmati Björn Again kerana itulah pengalaman paling hampir untuk menyaksikan ABBA beraksi.”