KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2026 – MELILEA (M) Sdn. Bhd. memperkenalkan BINTANG SUARA MELILEA 2026, sebuah inisiatif di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MELILEA yang memberi tumpuan kepada usaha mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat baharu dalam kalangan generasi muda. Inisiatif ini bukan sekadar sebuah pertandingan pencarian bakat, sebaliknya dirangka sebagai platform pembangunan potensi yang membuka peluang kepada golongan muda di seluruh Malaysia untuk membina keyakinan diri, mendapatkan pendedahan industri serta mengembangkan kebolehan dalam persekitaran yang positif, berdisiplin dan berintegriti. Menerusi program ini, peserta berpeluang mengetengahkan bakat nyanyian sambil memperoleh pengalaman yang dapat membantu mereka memahami dengan lebih dekat perjalanan dalam industri muzik dan hiburan. Usaha tersebut selari dengan komitmen MELILEA untuk mewujudkan peluang yang mampu memberi nilai serta impak positif kepada generasi muda. Pada masa sama, BINTANG SUARA MELILEA 2026 menjadi salah satu pendekatan MELILEA dalam merealisasikan falsafah “Transforming Lives” melalui pembangunan potensi individu. Membawa tagline “IMPIAN ANDA · SUARA ANDA · MASA DEPAN ANDA”, BINTANG SUARA MELILEA 2026 menggalakkan golongan muda supaya berani mengejar impian, menyuarakan bakat yang dimiliki dan melihat setiap peluang sebagai langkah ke arah masa depan yang lebih baik. Tagline berkenaan turut menggambarkan aspirasi program yang tidak hanya tertumpu kepada pencarian seorang pemenang, tetapi memberi ruang kepada setiap peserta untuk mengenali kekuatan diri, membina keyakinan serta mengembangkan potensi mereka. Bagi MELILEA, setiap individu mempunyai keupayaan tersendiri yang boleh berkembang sekiranya diberikan peluang, sokongan dan bimbingan yang bersesuaian. Pendekatan ini turut mencerminkan visi MELILEA International Group of Companies, iaitu “Transforming People’s Lives, Transforming The World”. Dalam usaha tersebut, MELILEA turut menekankan nilai integriti, pencapaian, pendidikan dan nilai diri sebagai asas penting dalam membentuk individu yang lebih yakin dan berdaya saing. MELILEA percaya kejayaan seseorang tidak bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh usaha, disiplin, ketekunan, keberanian mencuba serta bimbingan yang tepat. Justeru, BINTANG SUARA MELILEA 2026 memberikan peserta peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka di samping mendapatkan pendedahan industri dan panduan profesional daripada penggiat muzik yang berpengalaman. Program ini dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama SWYM Entertainment Group, sebuah organisasi yang mempunyai pengalaman dalam pembangunan dan pengurusan bakat seni. SWYM Entertainment Group diterajui Ong Peng Chu, seorang penggiat industri yang telah lama terlibat dalam pembangunan bakat serta pengurusan artis. Antara pengalaman beliau termasuk membantu penyanyi Malaysia seperti Shila Amzah dan Jeryl Lee Pei Ling mengembangkan kerjaya serta mendapatkan pendedahan di pasaran hiburan China. Pengalaman luas yang dimiliki Ong Peng Chu memberikan nilai tambah kepada BINTANG SUARA MELILEA 2026 kerana peserta bukan sahaja disediakan pentas untuk mengetengahkan bakat, malah turut berpeluang mendapatkan pandangan profesional mengenai perjalanan membina kerjaya dalam industri muzik dan hiburan. Program ini turut mendapat kerjasama Neo Gendang Studio yang diterajui Edrie Hashim, komposer, pengarah muzik dan gitaris kumpulan Wings. Penglibatan penggiat industri berpengalaman ini memperlihatkan kesungguhan MELILEA dalam membentuk sebuah ekosistem pembangunan bakat yang lebih tersusun dan profesional. Melalui sokongan tersebut, peserta berpeluang memahami bahawa perjalanan dalam industri seni memerlukan lebih daripada sekadar kebolehan menyanyi. Mereka juga perlu membina disiplin, keyakinan, kemahiran persembahan dan kesediaan untuk terus belajar serta memperbaiki diri. Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong berkata, falsafah MELILEA sentiasa berteraskan kepercayaan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk membina kehidupan yang lebih baik apabila diberikan peluang, sokongan dan bimbingan yang sewajarnya. Menurut beliau, perniagaan bagi MELILEA bukan hanya berkaitan keuntungan, tetapi turut melibatkan usaha untuk memberi nilai kepada masyarakat serta membuka ruang yang mampu membantu seseorang mengubah kehidupan mereka. “Sejak penubuhan MELILEA, kami sentiasa percaya bahawa perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan. Yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat memberi nilai, membuka peluang dan membantu seseorang mentransformasi kehidupan mereka. Inilah yang menjadi asas kepada falsafah MELILEA, ‘Transforming Lives’,” katanya. Beliau berkata BINTANG SUARA MELILEA 2026 merupakan salah satu usaha untuk membawa falsafah tersebut ke dalam sebuah platform yang memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan mengembangkan potensi diri. “Melalui BINTANG SUARA MELILEA 2026, kami mahu memberi ruang kepada generasi muda untuk mengejar impian, menyuarakan bakat dan menggunakan peluang yang tersedia sebagai satu langkah membina masa depan. Sebab itu kami memilih tagline ‘IMPIAN ANDA · SUARA ANDA · MASA DEPAN ANDA’ kerana kami percaya setiap individu mempunyai impian, setiap individu mempunyai suara dan setiap individu berhak membina masa depan yang lebih baik,” katanya. Datuk Prof. Dr. Alan Wong turut menegaskan bahawa program tersebut bukan sekadar pertandingan bagi menentukan pemenang, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha MELILEA untuk mentransformasi kehidupan melalui peluang, pengalaman, bimbingan dan sokongan. Menurut beliau, bakat perlu dibangunkan dengan disiplin, usaha, integriti dan bimbingan yang betul bagi memastikan potensi seseorang dapat berkembang secara berterusan. Beliau turut melihat usaha membuka peluang kepada golongan muda sebagai satu bentuk pelaburan terhadap masa depan masyarakat dan negara. “Kami percaya bahawa setiap individu berhak mendapat peluang untuk berjaya tanpa mengira latar belakang. Apabila seseorang diberikan ruang untuk menyerlahkan kebolehan mereka, dibimbing dengan baik dan diberi keyakinan, perubahan itu bukan sahaja boleh mengubah kehidupan individu tersebut, malah boleh memberi kesan positif kepada keluarga dan masyarakat,” katanya. Sementara itu, Ong Peng Chu selaku rakan penganjur bersama dan juri BINTANG SUARA MELILEA 2026 merakamkan penghargaan kepada MELILEA kerana memberikan kepercayaan untuk bersama-sama menjayakan inisiatif yang membuka ruang kepada generasi muda di seluruh Malaysia. Beliau berkata tagline program tersebut sangat dekat dengan semangat pertandingan kerana setiap penyanyi lazimnya bermula dengan sebuah impian sebelum berani menggunakan suara dan bakat untuk mendapatkan peluang. Menurutnya, peluang yang diperoleh melalui platform seperti ini boleh menjadi titik permulaan kepada pembinaan pengalaman serta laluan kerjaya yang lebih luas dalam bidang muzik. Berkecimpung dalam industri muzik selama lebih 40 tahun, Ong Peng Chu berkata beliau sentiasa melihat pertandingan nyanyian sebagai satu platform penting untuk mengenal pasti dan membuka peluang kepada bakat baharu. “Bagi saya, pertandingan nyanyian bukan sekadar soal menang atau kalah. Yang lebih penting ialah memberi peluang kepada mereka yang mempunyai bakat dan potensi untuk didengari, dilihat dan diberikan ruang untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik,” katanya. Beliau turut menggalakkan semua pencinta muzik dan individu yang merasakan mereka mempunyai bakat supaya tidak teragak-agak untuk mencuba dan tampil ke hadapan. Selain berpeluang memenangi hadiah wang tunai, peserta BINTANG SUARA MELILEA 2026 turut berpeluang menerima produk-produk kesihatan serta mendapatkan pendedahan kepada peluang dan pentas yang lebih luas. “Pentas sudah tersedia, mikrofon juga sudah tersedia. Kini kami hanya menantikan anda. Jangan lepaskan peluang ini kerana mungkin suara baharu yang sedang kami cari adalah suara anda,” katanya. Post navigation Konsert Revolusi Radja 25 Tahun di Kuala Lumpur Terpaksa Dibatalkan SHANMUGA SUNDARAM: A CELEBRATION OF BHARATANATYAM ARRIVES AT SUTRA HOUSE