PERASAN atau tidak, setiap kali makan, kita pasti akan menikmatinya sehingga perut benar-benar terasa kenyang.
Apatah lagi, jika terlalu lapar membuatkan kita tanpa sedar memesan terlalu banyak makanan.
Walhal, kapasiti perut kita tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan makanan dan minuman yang dipesan tadi.
Selepas itu, barulah terbit penyesalan dalam diri kerana tidak berupaya menghabiskan makanan dan minuman tadi.
Adakalanya kekenyangan itu membuatkan kita tersandar dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana kurang produktif akibat terlebih makan.
Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW amat menjaga sunahnya.
Baginda akan berhenti makan sebelum kenyang atau dalam erti kata lain makan jangan sampai kenyang.
Masakan tidak, jika terlalu kenyang dan kemudian berehat, kita akan mengantuk.
Mana mungkin dalam keadaan itu kita mampu untuk menyiapkan kerja-kerja yang tergendala seperti menyambung tugasan di tempat kerja atau dalam perkara ibadah iaitu menunaikan solat fardu.
Jika dibiarkan berlarutan, ia akan menjadi tabiat kita dan malas untuk bekerja dengan menghabiskan banyak masa untuk tidur.
Sifat sebegitulah yang tidak disukai oleh Rasulullah SAW kerana ia mendatangkan natijah yang tidak baik selepas itu.
Cuba renungkan kembali kenapa sunah tersebut dilakukan oleh baginda?
Seperti yang ditegaskan oleh Al-Imam al-Hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi yang meriwayatkan daripada Masruq RA, beliau berkata: “Aku telah menemui Aisyah RA, lalu beliau menghidangkan sesuatu kepadaku dan berkata; “Aku tidak pernah makan kenyang, bila mana aku terasa hendak makan, mulalah aku menangis.”
Masruq bertanya: “Mengapa?”
Lantas Aisyah menjawab: “Aku teringat perihal Rasulullah SAW yang telah wafat. Demi ALLAH! Rasulullah SAW tidak pernah kenyang dengan daging atau roti dua kali dalam sehari.” (Al-Targhib wa al-Tarhib)
Hadis itu menerangkan bahawa Rasulullah SAW mengamalkan sunah makan tidak sampai kenyang sehinggalah kewafatan baginda.
Dalam sebuah hadis lagi, ada dinyatakan begitu istiqamahnya baginda dalam mengamalkan sunah tersebut.
Daripada Urwah, daripada Aisyah berkata: “Demi ALLAH wahai anak saudaraku. Kami memandang kepada anak bulan. Demi anak bulan, padahal di rumah-rumah Rasulullah SAW tidak pernah berasap.”
Urwah berkata: “Wahai ibu saudaraku, maka apakah yang engkau makan?”
Jawab Aisyah: “Kurma dan air sahaja. Melainkan jika ada tetangga-tetangga Rasulullah SAW daripada kaum Ansar yang membawakan kami makanan. Dan memanglah kadang-kadang mereka membawakan kami susu. Maka, kami minum susu itu sebagai makanan.” (Sahih Bukhari Muslim)
Ya, barangkali bukan mudah untuk kita menundukkan nafsu makan.
Tambahan pula, jika kita dihidangkan makanan lagi oleh rakan-rakan atau tuan rumah yang dikunjungi walaupun perut sudah kenyang.
Demi mengambil hati, makanan itu dijamah jua sehingga perut tidak mampu lagi diisi.
Jika boleh dielakkan, lakukanlah dengan penuh beradab agar tidak mengecilkan hati rakan atau tuan rumah tadi.
Ingatlah bahawa pelbagai jenis penyakit bermula daripada perut.
Justeru, marilah kita berusaha untuk mengamalkan sunah Rasulullah SAW ini yang jelas memberi kebaikan kepada diri.
(Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)