Bahaya komplikasi Rheumatoid artritis – Sinar Harian

Bahaya komplikasi Rheumatoid artritis – Sinar Harian

KOMPLIKASI Rheumatoid Artritis (RA) boleh menyebabkan hakisan tulang dan kecacatan pada sendi.

Walaupun didiagnosis dengan RA, seseorang mudah terleka dan seperti tidak kisah lantaran percaya bahawa selagi ubat-ubatan diambil, boleh menyelamatkan segala-galanya. Dalam keluaran sulung menerusi sisipan Sihat:Aktif, saya akan menghuraikan beberapa komplikasi RA yang perlu diberi perhatian.

Pun demikian, namun tidak perlu takut kerana matlamatnya hanya sekadar untuk mendidik dan makluman sahaja. RA merujuk kepada gangguan auto imun yang mana sistem imun tersilap menyerang tisu badan sendiri.

Ia tidak seperti kerosakan akibat kemusnahan osteoarthritis, RA cenderung mempengaruhi lapisan sendi. Impaknya, ia menyebabkan seseorang mengalami bengkak yang menyakitkan lalu mengakibatkan hakisan tulang dan kecacatan sendi. RA juga dikaitkan dengan beberapa komplikasi dan komorbiditi atau penyakit yang berkaitan.

Beberapa komplikasi yang boleh berkembang dengan RA adalah seperti berikut:

1. Keradangan

Memandangkan penyakit itu bersangkut-paut dengan gangguan keradangan kronik, ia sekali gus boleh merosakkan pelbagai jenis sistem tubuh termasuk kulit, mata, paru-paru, jantung dan saluran darah.

2. Paru-paru

Keradangan atau lapisan paru-paru boleh menyebabkan fibrosis pulmonary pleurisy yang mengakibatkan seseorang berdepan dengan masalah sakit dada, batuk berterusan dan sesak nafas.

3. Penyakit kardiovaskular

Individu yang menghidapi penyakit RA berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular (CVD) berbanding orang lain secara umumnya. CVD merupakan istilah umum yang menggambarkan keadaan yang mempengaruhi jantung atau saluran darah termasuk masalah yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan strok.

4. Pembuluh darah

Keradangan pembuluh darah atau vasculitis boleh menyebabkan penebalan, kelemahan, penyempitan dan parut pada dinding pembuluh darah. Dalam kes yang serius, masalah tersebut boleh menjejaskan aliran darah ke organ dan tisu badan.

5. Mata

Mata mungkin terjejas dengan keradangan pada mereka yang menghidapi RA. Sindrom Sjogren menyebabkan mata kering, kekurangan air mata dan mulut kering. Bahagian putih mata juga boleh terjejas akibat keradangan dan situasi itu dikenali sebagai Scleritis.

6. Jantung

Keradangan juga boleh menjejaskan otot jantung dan lapisan jantung yang disebut Pericardium. Situasi itu akan menyebabkan seseorang mengalami sakit dada pada tahap sederhana sehingga ke paras yang teruk.

7. Osteoporosis

Osteoporosis melibatkan kehilangan ketumpatan tulang. Masalah itu menyumbang kepada risiko tulang mudah patah. Menurut Mayo Clinic, risiko osteoporosis semakin meningkat bagi penghidap RA.

Antara sebabnya:

– RA dan osteoporosis lebih biasa dihidapi wanita berusia dan perokok.

– Penggunaan kortikosteroid dalam rawatan RA.

– Potensi RA untuk secara langsung menyebabkan kehilangan tulang pada sendi yang terjejas.

Sehubungan itu, berbincanglah dengan doktor tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah masalah itu.

Doktor akan mengesyorkan suplemen kalsium dan vitamin D atau ubat-ubatan yang dinamakan bisphosphonates.

8. Tendon pecah

Tendon merupakan kepingan tisu fleksibel yang melekat pada otot hingga ke tulang. RA boleh menyebabkan tendon menjadi radang, malah dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan tendon pecah. RA selalunya menjejaskan tendon pada belakang jari.

9. Sindrom Terowong Carpal

Ia merupakan keadaan yang agak biasa kepada penghidap RA dan berlaku apabila terdapat terlalu banyak tekanan saraf pada pergelangan tangan. Ia boleh mendorong pesakit berasa sakit, kebas dan kesemutan pada ibu jari, jari dan bahagian tangan.

ANEKDOT

TANDA-TANDA Rheumatoid artritis (RA)

Jika seseorang itu mempunyai penyakit RA untuk tempoh yang lama, mereka akan menghadapi risiko seperti berikut:

Mylepathy serviks

Sendi terkehel pada bahagian atas tulang belakang menyebabkan tekanan terhadap saraf tunjang. Keadaan itu serius kerana ia boleh memberi kesan kepada mobiliti pesakit.

• Rasa sakit ketika kencing

Jika diserang demam, ia adalah tanda jangkitan dan mungkin akibat kesan sampingan pengambilan DMARD atau biologi.

• Mudah lebam atau pendarahan

RA dan Lupus boleh menyebabkan kiraan platelet rendah sekali gus memberi implikasi kepada masalah lebam dan pendarahan gusi. Ubat-ubatan artritis seperti methotrexate, biologic, kortikosteroid malah aspirin dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) boleh menyumbang kepada keadaan berkenaan.

• Perubahan dalam penampilan tahi lalat

Satu tahi lalat yang berubah saiz, warna atau lesi tidak sembuh mungkin tanda bakal menghidap kanser kulit. Pesakit RA yang mengambil terapi termaju mungkin lebih berisiko.

• Sesak nafas

Jika ia berlaku disertai dengan batuk tidak produktif atau sedikit, mungkin isyarat jelas bahawa terdapat masalah yang serius pada paru-paru seperti pembekuan darah atau parut. Jika mengambil methotrexate, ia mungkin methotrexate pneumonitis yang menyebabkan sesak nafas disertai batuk (tidak produktif) dan demam.

• Gangguan gaya hidup

Akibat sakit, pesakit RA boleh terjaga beberapa kali pada waktu malam. Fibromyalgia juga boleh mengganggu tidur seseorang. Ketidakupayaan akibat kerosakan sendi dan kesakitan juga boleh menghalang pesakit daripada melakukan tugas mudah seperti menyarung pakaian atau menggunakan tetikus komputer. Selain itu, gejala RA berupaya menjejaskan keupayaan bekerja.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan individu yang mempunyai RA lebih berkemungkinan berdepan kemelut seperti:

1. Terpaksa menukar pekerjaan.

2. Mengurangkan waktu kerja

3. Bersara lebih awal.

4. Kehilangan pekerjaan.

• Masalah psikologi

Tekanan RA dan perubahan gaya hidup boleh menyebabkan:

1. Kehilangan harga diri.

2. Perasaan tidak berdaya.

3. Kemurungan klinikal.

4. Gangguan perasaan cemas.

Jika mengalami gejala-gejala seperti yang disenaraikan, jangan tunggu. Buat temu janji dengan doktor dan dapatkan pemeriksaan. Dapatkan maklumat, pandang ke hadapan.

NOTA:

• Perubahan berat tidak dapat dijelaskan. Sebarang kenaikan atau penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan menjadi punca kebimbangan.

• Walaupun berat badan naik akibat ubat-ubatan seperti kortikosteroid dan beberapa jenis antidepresi merupakan hal biasa, penambahan berat badan yang cepat dan tidak dapat dijelaskan dapat menimbulkan masalah seperti penyakit buah pinggang atau kegagalan jantung kongestif.

• Kedua-dua keadaan menjadi perkara normal dengan beberapa bentuk artritis. Sebaliknya, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan boleh menjadi tanda peningkatan kepada aktiviti keradangan, tiroid, ulser perut yang berkaitan dengan NSAID atau penyakit Celiac atau Crohn.

Jika mengalami gejala-gejala seperti yang disenaraikan, jangan tunggu. Buat temu janji dengan doktor dan dapatkan pemeriksaan. Dapatkan maklumat, pandang ke hadapan.

DR Anwar Samhari Arshad.

DR Anwar Samhari Arshad.

PROFIL

Dr. Anwar Samhari Arshad merupakan Pakar Rhematology dan Sakit Kronik.

Beliau mengendalikan Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang di Pusat Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang.

(MBBS (UM), FRCP(Lond), FIPP Pain(USA), Msc Rheumatology (M’Chester), CIPS Ultrasound Pain Medicine (USA), MMC No.31755).

Sumber