Dianjurkan oleh Lo Fi Entertainment, konsert solo Jung Yong Hwa berjudul 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ telah berlangsung penuh meriah pada 14 September di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Ini merupakan persembahan solo sulung beliau di Malaysia yang berjaya menarik kehadiran kira kira 2,000 BOICE, gelaran buat peminat CNBLUE, sekali gus membuktikan pesonanya masih utuh di pentas.

Jung Yong Hwa membuka tirai persembahan dengan penuh keyakinan, tampil segak dalam sut kemas lengkap berkaca mata. Beliau memukau peminat dengan gimik berjalan dari kawasan penonton menuju ke pentas, simbolik kepada perjalanan karier solonya yang mencecah sedekad. Lagu “One Fine Day” dan “Your City” menjadi pembuka sebelum beliau menyapa peminat dalam Bahasa Melayu dengan ucapan mesra, “Apa khabar sayang?”, diikuti pengakuan bahawa cuaca Kuala Lumpur panas namun hatinya gembira kerana dapat kembali bertemu peminat.
Sejak penampilan bersama CNBLUE tahun lalu, Yong Hwa sudah menunjukkan usaha mempelajari Bahasa Melayu, dan kali ini beliau lebih kerap menggunakan kata kata seperti “Mantap”, “Janji”, “Bagus” serta “Terima Kasih” sepanjang konsert. Tidak cukup dengan itu, beliau secara spontan mempelajari perkataan baharu “Jerit semua!” yang terus mencetuskan sorakan padu daripada penonton.
Ketika berinteraksi dengan peminat mengenai makanan tempatan, cadangan untuk mencuba durian mendapat sambutan hangat. Yong Hwa lantas berseloroh dalam Bahasa Inggeris, “Durian all day long?”, membuatkan arena gamat dengan ketawa. Beliau turut berkongsi bahawa sahabat baiknya, Park Bo Gum, sempat menemuinya di belakang pentas dua jam sebelum konsert bermula kerana kebetulan turut berada di Kuala Lumpur.
Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Yong Hwa bukan sahaja menghiburkan dengan nyanyian dan tarian, malah berulang kali berinteraksi dengan peminat. Beliau juga menghadiahkan dua kali encore, mempamerkan bakat bermain dram dan turun ke zon peminat untuk beramah mesra. Konsert berakhir dengan suasana penuh gemilang dan meninggalkan detik berharga buat semua yang hadir.
