Tag: #KpopMalaysia

  • Ubat Kerinduan ReVelus: Percikan Joy Splash di Zepp Kuala Lumpur Tinggalkan Memori Indah

    Ubat Kerinduan ReVelus: Percikan Joy Splash di Zepp Kuala Lumpur Tinggalkan Memori Indah

    Di bawah langit Kuala Lumpur pada malam 25 April yang lalu, Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi kepada sebuah pertemuan yang bukan sekadar konsert, tetapi sebuah persinggahan jiwa. Sesuai dengan tajuk siri jelajah solo pertamanya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH), kehadiran Joy telah meninggalkan percikan memori yang membasahi kerinduan ReVeluvs yang telah sekian lama menanti. Malam itu bukan sekadar tentang nyanyian dan tarian, ia adalah sebuah medan pertemuan intim di mana batas antara idola dan peminat lebur dalam sebuah pelukan nada yang cukup mendalam.

    Lambaian kasih bermula apabila Joy muncul dengan naskhah Hello, seolah-olah mengetuk pintu hati lebih 1,500 jiwa yang hadir dengan penuh kelembutan. Ruang Zepp Kuala Lumpur terus dihujani emosi yang konsisten apabila melodi Je T’aime dan La Vie En Bleu berkumandang, sebelum suasana bertukar hangat dengan untaian lagu-lagu runut bunyi K-Drama yang cukup akrab di telinga. Setiap bait lagu seperti Introduce Me a Good Person dan Yeowooya disampaikan dengan penuh rasa, membuktikan bahawa vokal Joy bukan sekadar bunyi, tetapi sebuah cerita yang mahu dikongsikan bersama peminat setianya.

    Detik yang paling menyentuh sanubari adalah apabila Park Soo-young berhenti sejenak untuk menatap wajah-wajah di hadapannya sambil meluahkan rasa rindu yang sarat. Keadaan menjadi semakin sayu namun indah apabila Joy membaca surat kiriman peminat; satu pengakuan jujur tentang bagaimana karyanya menjadi “penyelamat” buat mereka yang sedang bergelut dengan badai anxiety. Di situ, cahaya terang seorang bintang bertemu dengan luka seorang manusia, mencipta satu magis kesembuhan yang hanya boleh dirasai melalui muzik. Joy membuktikan bahawa kehadirannya adalah cahaya yang memandu pulang mereka yang tersesat dalam kegelapan rasa.

    Malam itu disempurnakan dengan segmen interaktif yang penuh tawa dan kasih, di mana lagu-lagu ikonik seperti Red Flavor dan Peek-a-Boo mengembalikan nostalgia kegemilangan Red Velvet. Apabila encore Zimzalabim dan You Better Know bergema sebagai penutup, terselit sebuah harapan besar di wajah setiap ReVeluvs yang hadir. Selepas menyaksikan keberanian dan keindahan Joy, Wendy, Irene, serta Seulgi di pentas solo, kini hanya satu doa yang tersisa di dalam hati peminat—iaitu untuk melihat Red Velvet kembali bersatu sebagai sebuah pelangi yang lengkap, mewarnai pentas dunia dengan keajaiban yang lebih besar suatu hari nanti.

  • Aura Jung Yong Hwa Penuhi Kuala Lumpur, 2,000 Peminat Terhibur di Konsert Solo

    Aura Jung Yong Hwa Penuhi Kuala Lumpur, 2,000 Peminat Terhibur di Konsert Solo

    Dianjurkan oleh Lo Fi Entertainment, konsert solo Jung Yong Hwa berjudul 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ telah berlangsung penuh meriah pada 14 September di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Ini merupakan persembahan solo sulung beliau di Malaysia yang berjaya menarik kehadiran kira kira 2,000 BOICE, gelaran buat peminat CNBLUE, sekali gus membuktikan pesonanya masih utuh di pentas.

    Jung Yong Hwa membuka tirai persembahan dengan penuh keyakinan, tampil segak dalam sut kemas lengkap berkaca mata. Beliau memukau peminat dengan gimik berjalan dari kawasan penonton menuju ke pentas, simbolik kepada perjalanan karier solonya yang mencecah sedekad. Lagu “One Fine Day” dan “Your City” menjadi pembuka sebelum beliau menyapa peminat dalam Bahasa Melayu dengan ucapan mesra, “Apa khabar sayang?”, diikuti pengakuan bahawa cuaca Kuala Lumpur panas namun hatinya gembira kerana dapat kembali bertemu peminat.

    Sejak penampilan bersama CNBLUE tahun lalu, Yong Hwa sudah menunjukkan usaha mempelajari Bahasa Melayu, dan kali ini beliau lebih kerap menggunakan kata kata seperti “Mantap”, “Janji”, “Bagus” serta “Terima Kasih” sepanjang konsert. Tidak cukup dengan itu, beliau secara spontan mempelajari perkataan baharu “Jerit semua!” yang terus mencetuskan sorakan padu daripada penonton.

    Ketika berinteraksi dengan peminat mengenai makanan tempatan, cadangan untuk mencuba durian mendapat sambutan hangat. Yong Hwa lantas berseloroh dalam Bahasa Inggeris, “Durian all day long?”, membuatkan arena gamat dengan ketawa. Beliau turut berkongsi bahawa sahabat baiknya, Park Bo Gum, sempat menemuinya di belakang pentas dua jam sebelum konsert bermula kerana kebetulan turut berada di Kuala Lumpur.

    Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Yong Hwa bukan sahaja menghiburkan dengan nyanyian dan tarian, malah berulang kali berinteraksi dengan peminat. Beliau juga menghadiahkan dua kali encore, mempamerkan bakat bermain dram dan turun ke zon peminat untuk beramah mesra. Konsert berakhir dengan suasana penuh gemilang dan meninggalkan detik berharga buat semua yang hadir.