Penyanyi popular Ernie Zakri menampilkan dengan buah tangan terbaharu menerusi album berjudul ATMA. Menampilkan sebanyak tujuh trek penuh bermakna, album ini mengangkat tema jiwa manusia yang serba kompleks, termasuklah kerapuhan, kekeliruan serta pencarian jawapan dalam hidup.
Bagi Ernie, ATMA membuktikan fasa kematangan seni yang lebih berani selepas kejayaan album AURA. Beliau memilih konsep yang lebih padat agar setiap lagu mempunyai peranan yang jelas dalam membina naratif keseluruhan. Perjalanan album ini dimulakan dengan pengenalan, diikuti lima lagu penuh sarat emosi dan ditutup dengan trek bertajuk Finito.

Apa yang menarik, ATMA turut memberi ruang kepada pendengar untuk merasai pelbagai fasa emosi, merangkumi kesunyian, ketakutan, pergulatan dalaman diri, di samping meraikan erti cinta dan pertumbuhan peribadi. Ernie mendedahkan bahawa penceritaan dalam album ini bukan merujuk secara literal kepada kehidupannya, tetapi hasil pemerhatian dan empati terhadap pengalaman manusia secara universal.
Sebelum ini, perjalanan seni ke arah album ini mula diperkenalkan menerusi single “Sejambak Bunga” yang menampilkan imej serta muzik video bernada lebih gelap dan intim. Sambutan hangat peminat turut meriah apabila Ernie menganjurkan “Intimate Pre-Album Listening Party” seminggu sebelum pelancaran rasminya.

Ernie menaruh harapan tinggi agar peminat bukan sahaja mendengar suaranya, tetapi benar-benar merasai sesuatu yang dekat dengan diri mereka apabila mendengarkan ATMA. Album ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.











