Di sebalik sikap ceria dan bersahaja, Dr. Zack sebenarnya seorang lelaki yang masih bergelut dengan konflik cinta, keluarga dan tanggungjawab. Menerusi drama bersiri Menantu Tanpa Reda, pelakon Areef Amran membawakan watak tersebut sebagai lelaki yang kelihatan berani, tetapi takut berdepan kenyataan.
Menurut Areef, Dr. Zack bukan sekadar karakter yang sering membuat keputusan melulu sehingga mengundang kemarahan penonton. Sebaliknya, watak itu mempunyai sisi emosi dan kelemahan tersendiri yang menjadikannya lebih kompleks.
“Zack bukannya tidak tahu apa yang betul. Cuma kadangkala dia tidak cukup berani untuk melakukan apa yang dirasakan betul,” jelasnya mengenai karakter seorang doktor pelatih yang turut berdepan tekanan untuk memenuhi harapan ibu dan keluarganya.
Bagi memberikan lakonan yang lebih meyakinkan, Areef mengambil inisiatif mendapatkan bimbingan guru lakonan, mengkaji karakter menerusi filem dan mendalami personaliti Dr. Zack. Peluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Amar Bahrin, Aliza Shahdan, Sweet Qismina, Hanna Aqeela dan Yana Samsudin turut mendorongnya membuat persediaan lebih rapi.
Selain konflik keluarga, hubungan Dr. Zack dengan Suzila turut menjadi antara tarikan utama drama ini. Digambarkan sebagai pasangan yang mempunyai keserasian tersendiri, hubungan mereka diserikan dengan babak romantis dan gelagat bersahaja. Namun, kebahagiaan itu mula diuji dengan kehadiran Melissa, menantu pilihan ibu Zack, serta masalah kesihatan serius yang dihadapi Suzila akibat kanser tulang.
Areef turut menyifatkan konflik antara Dr. Zack dengan Pak Manap sebagai antara babak menarik untuk ditonton. Di sebalik pertembungan tegang mereka, hubungan itu turut memperlihatkan kasih sayang seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya.

Walaupun berharap penonton tidak terlalu cepat menghukum Dr. Zack, Areef mengingatkan bahawa kelemahan seseorang tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghalalkan kesilapan. Malah, dia sempat memberikan pesanan bersahaja kepada penonton yang mengikuti perjalanan wataknya.
“Jangan percaya sangat dengan Zack ini. Nanti korang yang sakit hati!” katanya.
Mampukah Dr. Zack berubah menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab, atau kesilapannya bakal menyebabkan dia kehilangan orang tersayang? Saksikan perkembangan kisah Dr. Zack dan Suzila dalam drama bersiri Menantu Tanpa Reda, arahan Uchee Fukada dan Ejump Mohd, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam di Astro Prima menerusi Astro X3 atau aplikasi sooka.











