Viu, platform penstriman video terkemuka milik PCCW, tampil dengan Viu Original terbaharu berjudul Ate Kome, I Love You! (Hey You, It’s Just Love), sebuah komedi romantik yang mengisahkan dua musuh zaman kanak-kanak yang dipertemukan semula oleh takdir ketika dewasa. Siri 12 episod yang dibawakan khas oleh jenama minuman popular POKKA ini akan mula ditayangkan secara eksklusif di Viu pada 25 Jun 2026, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat. Diarahkan oleh Helmi Yusof, siri ini membawa tema “dendam lama, cinta baharu” yang sarat dengan konflik, gelak tawa dan momen menyentuh hati. Aniq Suhair dan Bella Dowanna memegang watak utama sebagai Mamat dan Mila, manakala Amy Mastura, Ieda Moin serta pendatang baharu Nurel Baharin melengkapkan barisan pelakon. Siri ini juga menyaksikan Bella Dowanna kembali bekerjasama dengan Helmi Yusof selepas kejayaan Abang Imam Minah Skuter pada tahun lalu. Menambah seri penceritaan, lagu tema rasmi berjudul Syarat Cinta yang dinyanyikan oleh ALVN turut menjadi pelengkap kepada perjalanan kisah cinta yang penuh emosi ini. Lagu tersebut diterbitkan hasil kerjasama MsOrange Solutions Creative dan Rhunut Music. Kisah bermula apabila permusuhan antara Mila dan Mamat tercetus akibat konflik lama yang melibatkan ibu mereka. Persahabatan yang pernah terjalin antara kedua-dua wanita itu musnah gara-gara perebutan seorang lelaki, lalu kebencian tersebut terbawa-bawa hingga ke generasi seterusnya. Apabila dewasa, Mila memilih untuk berkahwin dengan Daniel demi memenuhi kehendak keluarganya sebelum membawa diri jauh untuk membina kehidupan sendiri. Namun segalanya berubah apabila rumah tangganya hancur dan dia ditinggalkan dengan pelbagai masalah serta beban hutang. Dalam keadaan terdesak, Mila bertemu semula dengan Mamat, individu yang paling tidak disangka akan membantunya. Tanpa banyak pilihan, dia menerima pelawaan Mamat untuk tinggal bersama keluarganya di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur. Apa yang bermula dengan pertengkaran dan salah faham setiap hari akhirnya bertukar menjadi hubungan yang semakin rapat. Mamat banyak membantu Mila untuk bangkit semula, termasuk memberi semangat kepadanya untuk kembali berdepan keluarganya dan memperbaiki hubungan dengan ibunya. Bagi meraikan tayangan perdana siri ini, Viu dan POKKA akan mengadakan sesi Meet & Greet eksklusif pada 17 Julai 2026 di Blue Concourse, Sunway Pyramid. Peminat berpeluang bertemu pelakon utama dan menikmati pelbagai aktiviti menarik yang berkaitan dengan siri ini. Maklumat lanjut akan diumumkan menerusi media sosial rasmi Viu Malaysia. Dalam perkembangan lain, Viu turut mengumumkan kerjasama bersama iQIYI International menerusi pakej langganan baharu yang bakal menawarkan akses kepada kedua-dua platform dalam satu pelan langganan. Pakej yang dijangka diperkenalkan di Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara pada separuh kedua tahun 2026 itu bakal menghimpunkan pelbagai kandungan premium Asia dalam satu tempat. Untuk perkembangan terkini, ikuti Viu Malaysia di Facebook, Instagram, YouTube, X dan TikTok serta muat turun aplikasi Viu menerusi App Store, Google Play, Huawei AppGallery dan TV pintar terpilih. Post navigation ROMANSA” Jadi Pertaruhan Baharu Sabhi Sadhi, Angkat Kisah Cinta Penuh Pengorbanan Spideraya Bukti Kuasa Legenda Muzik Tempatan Masih Relevan