Heritage Fashion Week 2026 kembali mencuri perhatian dengan membawakan Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan sebagai fokus utama penganjuran. Acara ini menjadi medan memperlihatkan keindahan busana tradisional serta menghimpunkan pelbagai usaha dalam memelihara warisan tekstil Melayu agar terus kekal relevan dalam dunia fesyen masa kini. Penganjuran yang memasuki tahun keempat ini merupakan kesinambungan komitmen ASFARENA dalam memperjuangkan warisan budaya melalui fesyen. Dengan kerjasama Karyaneka, pelbagai koleksi dibangunkan bagi menggabungkan keaslian seni tradisional bersama sentuhan moden tanpa mengabaikan nilai sejarah dan identiti budaya yang diwarisi turun-temurun. Kebaya Selangor menjadi antara tarikan utama menerusi rekaannya yang sopan, elegan dan kaya dengan seni sulaman tradisional. Dipadankan bersama kain batik, telepok atau songket, busana ini memperlihatkan gabungan pengaruh budaya Melayu Selangor, Bugis dan Jawa yang menjadikannya unik. Sementara itu, seni Kelingkan pula menyerlahkan keindahan sulaman benang logam emas dan perak yang dihasilkan secara teliti pada fabrik halus seperti baldu dan sutera. Seni warisan ini bukan sahaja melambangkan kehalusan pertukangan Melayu, malah menjadi antara identiti tekstil tradisional yang terus dipelihara hingga kini. Melalui Heritage Fashion Week 2026, ASFARENA berharap masyarakat akan terus menghargai dan menyokong usaha memelihara warisan budaya agar kekal hidup serta dikenali di peringkat antarabangsa. Post navigation Evo Mall Bangi Jadi Destinasi Festival Warisan Selera Selatan 2026, Himpunkan Sajian Ikonik Tiga Negeri HUAWEI INTRODUCES THE WATCH KIDS X1 SERIES IN MALAYSIA