PETALING JAYA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pendaftaran cukai koperasi di Malaysia.
Perjanjian persefahaman tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan MoU yang ditandatangani oleh dua badan itu pada 2018 menerusi penganjuran bengkel dan seminar pengurusan percukaian koperasi sebelum ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah berkata, ia juga adalah bukti komitmen pihaknya dan LHDN untuk mempromosikan pematuhan cukai dalam kalangan koperasi di seluruh negara.
“Sehingga kini, sebanyak 4,463 atau 30 peratus koperasi di seluruh negara telah berdaftar dengan LHDN. Sebanyak 1,001 koperasi daripada jumlah tersebut merupakan pembayar cukai secara aktif.
“Jumlah berkenaan boleh dipertingkatkan menerusi program bimbingan penyediaan cukai koperasi yang dilaksanakan oleh Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menaungi 15,315 koperasi berdaftar di negara ini,” katanya selepas majlis MoU di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya di sini.
Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan pendaftaran pengakuan sukarela yang dilaksanakan oleh LHDN, pihaknya menyasarkan peratusan pendaftaran koperasi sebagai pembayar cukai kepada lebih 50 peratus dan seterusnya mencapai 80 peratus dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2024.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN (Dasar), Datuk Dr Sotimin Muhalip; Timbalan Presiden Angkasa, Dr Mohd Azlan Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Abdullah Jusoh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi menjelaskan bahawa kerjasama strategik yang dijalinkan dengan Angkasa ini merupakan inisiatif pihaknya dalam merakyatkan percukaian selaras dengan pendekatan kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan (services) atau ringkasnya AES yang giat dilaksanakan.
“Melalui AES, LHDN berusaha untuk membina budaya pematuhan cukai sukarela yang kukuh kepada pembayar cukai khususnya dan orang awam umumnya.
“Pada 2022, sebanyak RM163.02 juta cukai telah disumbangkan oleh pembayar cukai kategori koperasi dengan peningkatan hampir 178 peratus berbanding kutipan pada 2020,” ujarnya.
Beliau berkata, pilihannya juga yakin dengan kepakaran yang dimiliki Angkasa dapat membantu meningkatkan bilangan pembayar cukai koperasi berdaftar, cakna dan konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian secara sukarela kepada negara.