Ambil pengajaran daripada kisah pembunuh yang dijemput ke syurga

Ambil pengajaran daripada kisah pembunuh yang dijemput ke syurga

  • April 24, 2019
  • 0 comments

UNTUK meraih syurga ALLAH, kita perlu mengikuti segala apa yang disukai Sang Pencipta dan jauhi larangan-Nya.

Orang yang tenggelam dalam ‘cinta’ kepada Tuhan akan sentiasa berusaha menjadikan kehidupan dan amalannya suatu perkara yang membawa kecintaan kepada ‘kekasihnya’ itu.

Bahkan, itulah yang terjadi kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan wali ALLAH.

Mereka tanpa jemu melakukan apa yang dicintai-Nya.

Begitulah juga dengan kita. Lakukan apa sahaja yang disuruh ALLAH untuk meraih cinta-Nya.

Jika cinta sesama manusia, segala lautan api sanggup direnangi, kenapa tidak kepada Tuhan yang menciptakan kita dan sekalian alam?

Andai kata kita ada melakukan khilaf dan dijentik rasa bersalah dalam diri, segeralah kembali kepada Yang Maha Satu serta bertaubatlah.

Rasulullah SAW bersabda: “Penyesalan adalah taubat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW, ada diceritakan tentang suatu kisah pelaku maksiat.

Kisah itu berkaitan seorang pembunuh yang dijemput ke syurga.

Diceritakan, lelaki itu telah membunuh 99 orang. Lalu, beliau berniat mencari orang alim untuk diajukan soalan tentang taubat.

Beliau berjumpa seorang pendeta dan bertanya: “Aku telah membunuh 99 orang, apakah masih ada peluang untukku bertaubat?”

Pendeta itu berkata: “Tidak.”

Mendengar jawapan itu, lelaki tadi terus membunuh pendeta berkenaan.

Maka, cukuplah 100 orang yang telah dibunuhnya.

Namun begitu, beliau masih tegar mencari orang alim.

Akhirnya, beliau bertemu orang alim yang lain.

Lalu, diajukan soalan yang sama: “Aku telah membunuh 100 orang, adakah masih ada peluang untukku bertaubat?”

Jawab orang alim itu: “Ya! Siapa yang dapat menghalang kamu untuk bertaubat? Pergilah ke kampung sekian dan beribadatlah di sana. Usah kamu kembali lagi ke negerimu kerana ia negeri yang sangat hina.”

Lelaki si pembunuh tadi itu pun meneruskan perjalanannya ke kampung yang disebutkan oleh orang alim tersebut.

Namun, ketika di persimpangan jalan, beliau ditakdirkan meninggal dunia.

Berlakulah ‘pergaduhan’ antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia berjalan mencari rahmat ALLAH SWT.”

Berkata pula Malaikat Azab: “Dia seorang yang tidak pernah melakukan kebaikan!”

Kemudian, datang malaikat lain menawarkan solusi dan berkata: “Ukurlah jarak di antara dua buah tempat. Mana yang lebih dekat, itulah tempat bersemadinya.”

Setelah diukur, ternyata jarak lelaki itu mendekati negeri yang mahu ditujunya.

Lalu, Malaikat Rahmat mengambilnya.

Lihatlah bagaimana penilaian ALLAH Yang Maha Pengampun terhadap hamba-Nya.

Ambillah pengajaran daripada kisah ini agar segera bertaubat tatkala hati kita dicuit hidayah ALLAH.

(Sumber: Fatin Nor Izzati)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge