Ambil berat mereka dalam kesusahan

Ambil berat mereka dalam kesusahan

  • May 22, 2019
  • 0 comments

BARU-BARU ini, tular kes seorang bapa yang kematian bayinya ‘ditolak’ pihak surau daripada menguruskan jenazah anaknya. Semuanya gara-gara kerana bapa itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk urusan pengebumian.

Dalam hal itu, seseorang yang dinamakan sebagai Muslim yang sejati adalah apabila dia mempraktikkan ajaran Islam sama ada dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Ini semestinya selaras dengan ajaran yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW yang menepati kehendak dan keperluan hidup semasa.

Tatkala masyarakat Islam mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, pasti mereka akan mendapati satu konsep yang dinamakan sabagai takaful yang amat dititikberatkan oleh Islam.

Maksud takaful di sini adalah setiap individu di dalam masyarakat mengambil tempat dalam memastikan maslahah umum atau khusus agar ia tercapai dalam hidup bermasyarakat. Bahkan, ia menjadikan setiap individu di dalam masyarakat saling melengkapi keperluan masing-masing.

Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis baginda SAW: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan, maka, seluruh badan akan merasakan panas dan demam”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, baginda SAW menjelaskan orang yang mengambil berat tentang perihal saudaranya sendiri pasti akan mendapat ganjaran besar dan balasan baik daripada ALLAH SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang menyelesaikan masalah seorang mukmin di dunia maka ALLAH akan menyelesaikan masalahnya di akhirat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesulitan maka ALLAH akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib saudaranya, maka, ALLAH akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat dan ALLAH sentiasa akan menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)

Kurang cakna

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Berbalik kepada kisah keluarga bayi tersebut, ia seolah-olah menggambarkan sikap masyarakat kita yang kurang cakna terhadap kesulitan yang dihadapi oleh orang lain.

Sikap negatif itu bukan sahaja menimpa masyarakat awam malah segelintir badan-badan pengurusan institusi ibadah umat Islam juga.

Setiap seorang Muslim perlulah bertindak berlandaskan roh Islam yang mengajar erti kasih sayang hakiki dan sikap saling membantu antara satu sama lain.

Dalam soal pengurusan jenazah, tidak dinafikan ia memerlukan kos penyelenggaraan. Ia pada asasnya hendaklah ditanggung dengan menggunakan harta peninggalan si mati sebelum difaraidkan.

Jika si mati tidak meninggalkan harta, maka, tanggungjawab berpindah kepada warisnya. Jika tiada dalam kalangan ahli-ahli waris yang mampu, tanggungjawab itu diambil alih oleh Baitulmal.

Dalam konteks Malaysia, pengurusan jenazah diuruskan oleh badan khairat kematian yang ditubuhkan oleh masjid-masjid kariah bagi menjaga kebajikan umat Islam setempat apabila menghadapi kematian.

Namun, jarang sekali surau-surau kecil memiliki badan kebajikan seperti itu kerana biasanya pihak surau juga menyerahkan tugas itu kepada pihak masjid.

Oleh itu, langkah yang lebih baik merujuk kepada pihak masjid untuk pengurusan jenazah terutama keluarga yang tidak mampu menanggung kos tersebut. Badan ini bukan sahaja melicinkan pengurusan jenazah, malah, menanggung segala kos lebih-lebih lagi ahli keluarga yang menghadapi kekangan kewangan.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis buku.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge