Muncul daripada scene underground, DISTORTED, sebuah kolektif genre-bending yang dianggotai Sino, Eneyeqay dan Balo, bakal melancarkan album debut yang dinantikan ramai berjudul NEW MATERIAL. Balo yang turut dikenali sebagai Iqie daripada kumpulan Insomniacks juga merupakan sebahagian daripada DISTORTED. Dengan gabungan tekstur elektronik, irama eksperimental dan emosi mentah, NEW MATERIAL menandakan detik penting buat trio ini dalam membentuk laluan tersendiri dalam muzik moden.
NEW MATERIAL hadir sebagai satu nafas baharu, bukan sahaja untuk DISTORTED tetapi juga untuk sesiapa yang mendengarnya. Ia bukanlah album yang ditujukan untuk memenuhi selera semua orang, dan di situlah kekuatannya. Sepanjang 16 lagu, album ini bergerak seperti sebuah filem, bermula dengan 10 trek rap dan hip-hop bertenaga tinggi sebelum perlahan berubah menjadi 6 lagu emosional dan introspektif yang menutup perjalanan album ini dengan nada yang lebih peribadi.
Album ini dibangunkan sepanjang tempoh tiga tahun, mewakili titik pertemuan pelbagai bunyi, pengalaman dan pengaruh muzik kerana setiap ahli datang daripada latar yang berbeza. Mereka mencurahkan segala pembelajaran dan pengalaman ke dalam satu karya bersama, sambil bereksperimen, meneroka genre baharu dan bekerjasama dengan pelbagai artis berbakat yang membantu membentuk album ini menjadi seperti hari ini.

Sino berkongsi bahawa pendengar boleh menjangkakan satu nafas baharu, hasil perjalanan panjang sejak hari pertama, bekerja dengan individu berbakat daripada pelbagai scene, serta mengalami pasang surut perasaan terhadap setiap lagu. Melihat demo yang dirakam semalaman bertukar menjadi trek lengkap menjadikan detik album ini siap sebagai sesuatu yang surreal baginya.
NEW MATERIAL dipacu dua lagu fokus iaitu “SHEESH” dan “BAYANGAN”, yang mempamerkan versatiliti dan kedalaman muzik mereka. “SHEESH” menangkap sisi eksperimental DISTORTED, dengan elemen elektronik berat dan struktur lagu yang tidak konvensional yang menurut Balo, benar-benar menetapkan tona untuk keseluruhan album. Bercakap tentang proses kreatifnya, beliau menjelaskan bahawa mereka hanya menambah lapisan demi lapisan sambil berseronok sepanjang pembinaan lagu itu.
Mengenai kolaborasi bersama Killa Driz, Balo mengakui mereka telah bekerjasama dalam banyak projek sepanjang tiga tahun lalu dan menyifatkan Driz sebagai seorang kreatif luar biasa, lyricist elit dan individu yang menyenangkan. Sementara itu, “BAYANGAN” yang diketuai Eneyeqay membawa emosi introspektif dengan melankolia halus. Lagu ini diungkapkan seperti memikul beban senyap yang mengikuti seperti bayang, meneroka ketegangan antara melepaskan sesuatu dan perasaan yang masih bersisa.

Eneyeqay menjelaskan bahawa inspirasi lirik datang daripada fasa kehidupan di mana dia belajar melepaskan beberapa orang dan beberapa momen, sambil cuba menangkap ruang antara mengingati dan meneruskan hidup. “BAYANGAN” menjadi cara beliau menukar perasaan itu ke dalam sebuah karya bunyi. Menurutnya, setiap individu yang terlibat membawa emosi dan kreativiti tersendiri, dan dia berharap pendengar mampu melihat sedikit kisah mereka dalam lagu itu, sama ada ia mengingatkan kepada seseorang yang dirindui atau masa yang telah berlalu, kerana lagu kadangkala membantu memproses perasaan yang sukar diungkapkan.
Pada terasnya, NEW MATERIAL ialah kisah tentang ketahanan dan evolusi, refleksi terhadap perjuangan, perjalanan keluar dari masa lalu serta keengganan untuk membiarkan unsur negatif menentukan arah hidup. Ia membawa semangat debut yang mentah daripada sebuah kumpulan yang berkarya dari tempat kejujuran dan tenaga positif. Bagi Sino, album ini merupakan sebahagian daripada karya hidupnya. Ia bermula sejak mereka mula ditandatangani, lahir daripada keinginan untuk mencipta sesuatu yang benar.
Setelah melalui jatuh bangun dalam proses berkarya selama bertahun-tahun, NEW MATERIAL akhirnya hadir sebagai satu kenyataan penuh, menggambarkan perkembangan, ketekunan dan keindahan dalam penciptaan. Menjelang pelancaran album, Sino menzahirkan harapannya agar NEW MATERIAL diterima pendengar dan mampu membuat mereka merasai sesuatu, sambil menjelaskan bahawa DISTORTED hanya mahu terus menghasilkan lebih banyak muzik selepas ini. Album NEW MATERIAL akan tersedia di semua platform penstriman utama bermula 14 November 2025.