Adrianna Cinta Lancar “Impiana”, Sebuah Karya Tentang Harapan, Realiti dan Nilai Syukur

Menandai perjalanan seninya yang terus berkembang, penyanyi muda berbakat Adrianna Cinta hadir dengan single terbaharu berjudul “Impiana”, sebuah karya introspektif yang mengetengahkan tema harapan, realiti kehidupan dan keindahan dalam rasa syukur, di bawah edaran Sony Music Entertainment Malaysia. Lagu ini mencerminkan sisi kematangan baharu dalam penyampaian Adrianna setelah memulakan langkah awalnya menerusi single “My Baby”, yang sebelum ini memperkenalkan dirinya sebagai artis dengan sentuhan lembut dan romantik.

“Impiana” ditulis dan digarap oleh gandingan mantap Syaizul Amal sebagai komposer, Ain Maisarah selaku penulis lirik dan Farouk Roman sebagai penerbit muzik. Keseluruhan karya ini memberi ruang kepada Adrianna untuk menonjolkan vokal yang lebih jujur, dengan emosi yang disampaikan secara lebih mendalam dan dekat dengan realiti kehidupan. Lagu ini membawa pendengar menyelami maksud di sebalik ‘keindahan’ yang sering dikejar, dan bagaimana setiap impian kadang-kala datang bersama sisi gelap yang jarang diperkatakan.

Mengulas tentang penghasilan lagu tersebut, Adrianna berkongsi bahawa “Impiana” adalah refleksi dirinya yang sedang belajar memahami dunia dewasa dan industri seni yang penuh cabaran. Baris lirik “The grass is greener on the other side” menjadi simbol perjalanan kariernya sebagai pendatang baharu, menggambarkan bagaimana setiap detik indah turut hadir bersama saat-saat sukar yang membentuk ketabahannya. Baginya, kejujuran dalam lirik ini mencerminkan hakikat bahawa apa yang sering kita lihat sebagai ‘sempurna’ tidak semestinya bebas daripada dugaan.

Bagi memastikan emosi lagu ini sampai kepada pendengar dengan sejujurnya, sesi rakaman dilakukan pada jam 1 pagi atas saranan Farouk Roman. Adrianna mendedahkan bahawa suasana sunyi dan tenang pada waktu itu membantu dirinya menyampaikan lagu dengan lebih tulus, sambil menghasilkan tona suara yang lebih ‘raw’ dan sesuai dengan tema yang ingin disampaikan. Ia menjadi antara pengalaman paling unik dan bermakna dalam perjalanan muziknya setakat ini.

Walaupun “Impiana” membawa nada melankolik, ia tidak lari daripada mesej positif tentang rasa syukur sebagai kunci ketenangan. Adrianna menegaskan bahawa manusia sering mengejar sesuatu yang lebih besar sehingga lupa untuk berhenti dan menghargai pencapaian kecil yang hadir dalam kehidupan. Menurutnya, apabila seseorang belajar untuk bersyukur, barulah mereka memahami nilai sebenar setiap usaha dan pergerakan ke hadapan.

Dalam dunia hiburan yang penuh perbandingan dan persaingan, Adrianna memilih untuk melihat perjalanan seninya sebagai sebuah proses yang berterusan. Baginya, bukan soal siapa yang lebih hebat, tetapi bagaimana seseorang itu kekal bergerak dan memahami halatuju sendiri. Selagi langkah diambil walaupun perlahan, ia tetap satu kemajuan. Sikap ini menjadi asas kekuatannya untuk kekal relevan dan terus berkembang dalam industri.

Adrianna berharap lagu ini dapat membuka ruang untuk pendengar melihat impian dari perspektif yang lebih realistik, tanpa mengabaikan nilai-nilai kecil yang menjadikan perjalanan itu lebih bermakna. Beliau percaya bahawa “Impiana” mampu memberi refleksi khususnya kepada golongan muda yang sering berhadapan dengan tekanan dalam mengejar impian. Baginya, kebahagiaan sebenar bukan hanya terletak pada pencapaian besar, tetapi pada kejujuran hati dalam menerima baik dan buruk kehidupan.

“Impiana” kini tersedia dan boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer bermula 31 Oktober 2025.