KUALA LUMPUR — Pengalaman luas pemuzik dan penerbit tersohor, Edrie Hashim, kini diterjemahkan ke dalam acuan baharu menerusi pelancaran Neogendang sebagai sebuah hab kreatif menyeluruh di Neogendang Studio, Kuala Lumpur. Dirasmikan menerusi penganjuran sesi listening party eksklusif pada 26 November 2026 bersama wakil media dan penggiat industri, inisiatif ini direka khusus untuk membangunkan bakat tempatan secara holistik meliputi pembentukan identiti muzik, penulisan lagu (songwriting), penerbitan, mutu persembahan pentas, penjenamaan, sehinggalah perancangan hala tuju kerjaya.

Dalam sesi pratonton berkenaan, para hadirin berpeluang menikmati barisan lagu terbaharu daripada artis-artis di bawah ekosistem Neogendang seperti Candy, Neil Arrian, Killpop, dan The Outsiders, selain gubahan baharu tulisan dan terbitan Edrie Hashim. Edrie menjelaskan bahawa Neogendang dibina bukan sekadar tempat merakam lagu, sebaliknya menjadi pusat rujukan di mana artis boleh hadir membawa demo atau idea yang belum sempurna untuk digilap sehingga memiliki arah tuju komersial dan artistik yang jelas.
Melalui aliran kerja sistematik yang bermula daripada pembangunan artis, pra-penerbitan, rakaman audio profesional, konsultasi kreatif, hingga strategi pelancaran, Neogendang bersedia menyokong penyanyi solo dan band baharu yang memerlukan bimbingan susulan. Acara ini sekali gus menandakan permulaan kepada beberapa siri pelancaran karya segar daripada keluarga Neogendang dalam masa terdekat.














