Lebih 55 Penilaian Risiko Laluan dan Bimbingan Pemandu: Bagaimana Nestlé Malaysia Memperkasa Budaya Keselamatan Bersama Rakan Logistik

KUALA LUMPUR — Kejayaan mengekalkan rekod kadar kematian sifar dan kejadian jalan raya sifar sepanjang tahun 2026 di seluruh rangkaian penghantaran Nestlé Malaysia bukanlah dicapai melalui teknologi semata-mata, tetapi hasil gabungan bimbingan manusia, pengurusan risiko laluan yang teliti, serta kerjasama erat dengan rakan pengangkutan. Setiap hari, Nestlé Malaysia menggerakkan 200 lori berat dari kilang ke pusat pengedaran dan gudang pelanggan utama merentasi koridor Malaysia Singapura, melibatkan anggaran 6,500 perjalanan atau hampir 900,000 kilometer sebulan.

Selain melengkapkan 100% armada rakan pengangkutannya dengan kamera papan pemuka dan telematik GPS berpandukan AI bagi mengesan keletihan pemandu dan pemanduan berisiko secara masa sebenar, Nestlé Malaysia telah menyempurnakan 55 penilaian Pengurusan Risiko. Langkah proaktif ini memetakan potensi bahaya di sepanjang laluan penghantaran termasuk simpang berisiko tinggi, kawasan kerap berlaku kemalangan, serta mengenal pasti lokasi rehat paling sesuai untuk pemandu. Program tersebut disokong pula oleh pemeriksaan lori secara digital, taklimat berkala, dan latihan pemanduan berhemah.

Menurut Pengurus Kanan Pengangkutan & Logistik Bright Haulage Sdn. Bhd., Sentil Nadason, kerjasama selama sedekad bersama Nestlé Malaysia telah meningkatkan piawaian operasi syarikatnya secara berterusan daripada kompetensi pemandu dan pengurusan perjalanan sehinggalah pemantauan armada berasaskan AI. Sempena Transport Excellence Day 2026, rakan-rakan pengangkutan turut memperbaharui komitmen menerusi ikrar bersama bagi memastikan setiap perjalanan kekal selamat dan bertanggungjawab.