Peluang Tingkat Kemahiran Kerjaya: 25,000 Lesen Tambahan GLP Coursera Ditawarkan Kepada Rakyat Malaysia

Menteri Digital Gobind Singh Deo mengumumkan penawaran 25,000 Lesen GLP Coursera percuma untuk rakyat Malaysia

Peluasan Inisiatif Pembelajaran Percuma Melalui Rakyat Digital

Berita baik buat warga tempatan yang ingin meningkatkan kemahiran diri secara percuma. Kementerian Digital telah memperluaskan akses Pas Pembelajaran Global (GLP) menerusi penambahan 25,000 lesen baharu melalui portal Rakyat Digital. Penambahan kuota ini menjadikan jumlah keseluruhan lesen yang disediakan kini mencapai 50,000 lesen bagi menampung permintaan menggalakkan daripada rakyat yang ingin memajukan kerjaya dalam era digital.

Lesen tambahan tersebut dijadualkan mula diedarkan pada pertengahan November 2026 khusus kepada 25,000 individu terawal yang senaraikan dalam senarai menunggu. Pihak kementerian menyeru semua pemohon yang layak agar sentiasa memantau peti masuk e-mel masing-masing, termasuk bahagian spam demi memastikan mereka tidak terlepas arahan rasmi untuk mengaktifkan lesen percuma berkenaan.

Akses Pembelajaran Percuma Melalui Lesen GLP Coursera

Inisiatif di bawah tajaan penuh Kerajaan ini menawarkan akses tanpa bayaran selama tiga bulan kepada lebih 16,000 modul pembelajaran berkualiti tinggi di platform Coursera. Ini merangkumi kursus kemahiran teknikal, sijil profesional antarabangsa serta projek berpandu yang dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi dan syarikat teknologi tersohor dunia.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyatakan bahawa penyediaan peluang ini bertujuan membina keyakinan rakyat dalam memanfaatkan teknologi moden. Dengan penekanan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam Belanjawan 2027, inisiatif ini bertindak sebagai pemangkin penting dalam mempersiapkan tenaga kerja tempatan menghadapi pasaran kerja masa depan yang pantas berubah. Langkah ini juga menyokong Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dalam melahirkan masyarakat yang celik teknologi dan berdaya saing di peringkat global. Layari www.rakyatdigital.gov.my untuk mula meneroka pelbagai kursus menarik yang disediakan.