Muzik mempunyai keupayaan membawa seseorang kembali kepada kenangan tertentu, dan itulah yang dirasai oleh kira-kira 8,000 peminat yang hadir menyaksikan Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.
Selepas tujuh tahun, penyanyi dan komposer antarabangsa itu kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menerusi sebuah persembahan yang dipenuhi lagu-lagu nostalgia dan mesej positif.
Dianjurkan oleh Zues Event dan dipersembahkan oleh Prudential Malaysia, Jason Mraz mempersembahkan sebanyak 20 lagu sepanjang malam, termasuk You and I Both, Long Drive, Livin’ in the Moment, Lucky, Beautiful Mess dan 93 Million Miles.
Beliau membuka persembahan dengan You and I Both sebelum menyapa penonton dengan penuh mesra, mengucapkan betapa gembiranya beliau dapat kembali ke Malaysia.
Hubungan antara Jason Mraz dan peminat tempatan turut terserlah menerusi interaksi santai sepanjang persembahan. Penyanyi itu beberapa kali mengucapkan “terima kasih”, sekali gus mengundang sorakan daripada penonton.
Kemuncak emosi malam itu dapat dirasai ketika lagu I Won’t Give Up dipersembahkan. Lagu yang membawa mesej tentang ketabahan dan kesetiaan itu dinyanyikan bersama oleh ribuan peminat, mencipta suasana yang cukup istimewa.

Selain menyanyi, Jason Mraz turut memperlihatkan kemahirannya bermain gitar dan menyampaikan lagu dengan penuh kejujuran. Setiap karya yang dipersembahkan mempunyai cerita tersendiri, daripada kisah cinta dan persahabatan kepada pandangan positif terhadap kehidupan.
Konsert tersebut ditutup dengan lagu Yours selepas persembahan No Plans, melengkapkan malam yang penuh nostalgia buat peminat.
Kepulangan Jason Mraz membuktikan bahawa lagu-lagunya masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati peminat Malaysia, walaupun tujuh tahun telah berlalu sejak persembahan terakhirnya di negara ini.










