KUDRAT 1968: High Council Raih RM6.5 Juta, Terus Jadi Bualan Penonton

Filem KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatatkan kutipan terkumpul sebanyak RM6.5 juta, merangkumi kutipan tayangan awal dan dua hari tayangan rasmi di pawagam sejak 29 Oktober lalu.

Pencapaian ini membuktikan bahawa francais High Council masih mendapat tempat di hati penonton tempatan. Selain sambutan memberangsangkan di pawagam, filem ini turut menjadi bualan hangat di media sosial menerusi pelbagai reaksi dan pujian daripada peminat.

Antara yang mencuri perhatian ialah lakonan enam teraju utama, Zarif Ghazzi sebagai Abbas, Mierul Aiman sebagai Kuda, Akmal Asyraf sebagai Piji, Dai Fuad sebagai Pa, Evertts Gomes sebagai Ghafar dan Chech Harith sebagai Mazli. Keserasian dan penghayatan watak yang ditampilkan oleh barisan pelakon ini terus mendapat pujian daripada penonton.

Menerusi pendekatan inovatif ‘One Story, Two Formats’, KUDRAT 1968 menawarkan pengalaman penceritaan yang menggabungkan empat episod siri premium dengan sebuah filem layar lebar, sekali gus membawa peminat lebih dekat dengan dunia dan konflik High Council.

Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, kejayaan kutipan awal filem ini turut memperlihatkan sokongan kuat penonton terhadap karya tempatan dan bakat baharu dalam industri hiburan.

KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.